Peluang menang baucar RM1,000 jika patuhi My-TTA Plus

Baucar beli-belah bernilai RM1,000 ditawarkan kepada 15 pemenang sekiranya mendaftar dan mematuhi My-TTA.
Baucar beli-belah bernilai RM1,000 ditawarkan kepada 15 pemenang sekiranya mendaftar dan mematuhi My-TTA.
A
A
A

PETALING JAYA - Pengguna lebuh raya kendalian Plus Malaysia Berhad (Plus) berpeluang memenangi baucar beli-belah sehingga RM1,000 setiap seorang apabila mereka mendaftar dan mematuhi My-TTA sempena cuti perayaan Krismas dan tahun baharu yang akan datang.

Pengarah Urusan Plus, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, seramai 15 pengguna bertuah akan dipilih menerima hadiah itu sementara 100 lagi bakal memenangi mata ganjaran PlusMiles bernilai RM50 setiap seorang yang boleh ditebus di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) terpilih.

“Pengguna yang bercadang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan antara 22 Disember hingga 1 Januari ini sempena cuti Krismas dan tahun baharu disarankan merancang perjalanan dengan memilih serta mendaftar waktu perjalanan yang sesuai untuk mula memasuki lebuh raya.

"Pengguna yang telah mendaftarkan pilihan perjalanan mereka menerusi My-TTA dalam Aplikasi Plus akan mendapat akses maklumat trafik terkini terus ke telefon bimbit masing-masing dan menerima notifikasi berdasarkan destinasi dan tarikh perjalanan yang dipilih," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Nik Airini menjelaskan, pendekatan secara digital sepertimana yang tertera pada fungsi My-TTA itu untuk memberi kemudahan kepada orang ramai merancang perjalanan di samping membantu mengagihkan trafik bagi perjalanan yang lebih lancar dan selesa.

“Inisiatif ini merupakan penambahbaikan kepada jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang biasa dikeluarkan oleh Plus sejak tahun 2007. My-TTA adalah pendekatan secara digital yang lebih mesra pengguna di mana pengguna lebuh raya dapat memilih waktu perjalanan berdasarkan plaza tol masuk dan plaza tol keluar.

"Melalui My-TTA, pengguna lebuh raya akan dapat melihat paparan tahap keadaan trafik berdasarkan corak perjalanan perayaan musim lalu ke sesuatu destinasi. Oleh itu, pengguna lebuh raya boleh memahami impak tempoh perjalanan berdasarkan waktu yang dipilih,” ujarnya.

Menurutnya, waktu-waktu pilihan perjalanan yang disediakan menerusi Aplikasi Plus tersebut bertujuan mengelakkan kenderaan yang bergerak ke destinasi berlainan daripada terkumpul di satu-satu lokasi di lebuh raya secara serentak, seterusnya meningkatkan kemungkinan berlaku kesesakan di lokasi terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Program rintis My-TTA telahpun diperkenalkan oleh Plus pada cuti perayaan Deepavali yang lalu. Walaupun program rintis My-TTA ini baharu sahaja diperkenalkan, ia telah menerima sambutan yang menggalakkan dan mencatat kadar pematuhan jadual perjalanan sehingga 30 peratus.

"Oleh itu, kami sangat menggalakkan pengguna lebuh raya supaya menggunakan My-TTA pada perayaan Krismas ini bagi memudahkan pihak Plus memperkemas dan memperkukuhkan inisiatif ini untuk pelaksanaan pada musim-musim perayaan yang akan datang.

"Sama seperti aplikasi lain yang berasaskan kepintaran buatan (AI), lebih banyak penggunaan dan data, maka ia akan lebih 'pintar' untuk penggunaan yang seterusnya,” tambahnya.

Ujarnya, selain pilihan waktu mula memasuki lebuh raya, Aplikasi Plus turut menyediakan paparan kamera litar tertutup (CCTV)keadaan trafik di lokasi-lokasi kritikal di lebuh raya.

"Aplikasi PLUS juga menyediakan butang 'SOS' untuk bantuan kecemasan, senarai kemudahan R&R atau hentian sebelah, kalkulator tol untuk memudahkan pengguna lebuh raya mendapatkan maklumat bayaran tol atau berinteraksi dengan Chatbot PUTRI untuk mendapatkan pelbagai maklumat mengenai Plus," katanya.

Aplikasi Plus boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store (bagi peranti Android), App Store (bagi pengguna iPhone) atau Huawei AppGallery (bagi pengguna Huawei).