Agong berkenan tinjau persiapan penghantaran ketiga Ops Ihsan

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berangkat menyaksikan persiapan akhir bagi penghantaran ketiga Ops Ihsan di Terminal Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Isnin. - Foto Bernama

A
A
A

SEPANG - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isninberkenan meninjau persiapan terakhir penghantaran ketiga misi bantuan kemanusiaan sumbangan Malaysia ke Palestin menerusi Ops Ihsan di Terminal Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Seri Paduka yang diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa kira-kira sejam memeriksa bantuan berkenaan yang dikumpulkan di gudang penyimpanan di terminal berkenaan selain turut memeriksa bantuan yang dimasukkan ke dalam pesawat kargo sewaan khas untuk menghantar bantuan itu.

Menurut kenyataan media Wisma Putra, penghantaran itu melibatkan 60 tan muatan pelbagai barangan termasuk 35.57 tan barangan perubatan, 6.62 tan makanan sedia dimakan, 4.35 tan barangan keperluan bayi dan 13.46 tan persiapan musim sejuk termasuk tilam dan selimut.

Melalui penghantaran ketiga itu, Malaysia sudah menghantar brangan bantuan mencecah 100 tan, selepas penghantaran pertama dan kedua masing-masing melibatkan barangan seberat 20 tan.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat menyaksikan persiapan akhir bagi penghantaran ketiga Ops Ihsan di Terminal Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Isnin. Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan). - Foto Bernama

Pesawat khas berkenaan dijangka berlepas melalui KLIA awal pagi esok dan mendarat di Lapangan Terbang Tentera Al-Arish, Mesir pada hari sama, menurut kenyataan itu.

"Bantuan berkenaan akan diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir untuk disalur kepada penduduk Palestin di Gaza,” demikian menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Wisma Putra memaklumkan kerjasama rentas antara agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) bertujuan memastikan gerak atur proses bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza lebih tersusun, bersepadu dan efektif di bawah seliaan kementerian itu.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid semasa berucap pada majlis tersebut berkata, Ops Ihsan telah membuktikan keberkesanan dalam pengurusannya melalui penggunaan sumber dan kepakaran pelbagai organisasi yang terlibat secara tersusun dan efisien.

"Kerjasama yang julung kali diadakan ini ternyata berhasil. Kolaborasi ini berjaya mengelakkan pertindihan mahupun penyelewengan bagi memastikan bantuan yang diberikan jelas memenuhi keperluan, dan benar-benar sampai kepada golongan yang disasarkan,” katanya. - Bernama