Mapim gesa PBB tegas isu pembunuhan petugas media

Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) meggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil pendirian tegas terhadap pembunuhan lebih 60 wartawan dan petugas media di Gaza.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan Israel dianggap lebih daripada jenayah perang dan perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perbuatan keji tersebut.

“Israel melakukan lebih daripada jenayah perang, menyasarkan wartawan dan pekerja media adalah terlalu ganas yang barbarik.

“Kami mengecam tindakan Israel yang sewenang-wenangnya melakukan jenayah perang yang menyasarkan sesiapa sahaja termasuk apa sahaja dalam kegilaannya untuk memusnahkan Gaza,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Mohd Azmi, serangan Israel pada Ahad mencederakan seorang staf dan membunuh seorang lagi kakitangan media Al Jazeera.

Ujarnya, jurukamera Al Jazeera, Samer Abudaqa, terbunuh dalam serangan dron di sebuah sekolah PBB yang menempatkan IDP, manakala koresponden, Wael Dahdouh cedera terkena serpihan dalam serangan Israel di Khan Younis.

“Sehingga 15 Disember lalu, Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) dalam siasatan awalnya menunjukkan sekurang-kurangnya 64 wartawan dan pekerja media adalah antara lebih 19,000 yang terkorban sejak perang bermula 7 Oktober lalu.

“Perang Gaza membuktikan salah satu konflik paling berbahaya bagi wartawan dalam menjalankan tugas melaporkan peperangan ini,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Azmi turut memaklumkan, wartawan yang membuat liputan mengenai perang telah menghadapi serangan, ancaman dan penapisan serta berdepan dengan gangguan komunikasi di Gaza.

Ujar beliau, di bawah undang-undang antarabangsa wartawan tidak boleh diasingkan daripada orang awam dan mereka perlu dilindungi seperti orang awam secara keseluruhan.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, tindakan menyasarkan orang awam atau melancarkan serangan dengan sengaja dan tidak membezakan antara sasaran tentera serta orang awam adalah menyalahi undang-undang.

“Dalam Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2222 telah menyebut bahawa wartawan dan pekerja media yang beroperasi di kawasan konflik bersenjata mesti dilayan serta dilindungi sebagaimana orang awam dan dibenarkan membuat kerja mereka tanpa gangguan.

“Menurut Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa, media tidak boleh dianggap sebagai sasaran ketenteraan walaupun mereka digunakan untuk tujuan propaganda melainkan mereka membuat sumbangan berkesan kepada tindakan ketenteraan atau menghasut jenayah perang, pembunuhan beramai-ramai serta tindakan keganasan,” jelas Mohd Azmi.

Justeru, pihak Mapim menyeru pekerja media Malaysia untuk mengutuk tindakan kejam rejim Zionis dan mencari keadilan untuk petugas media yang dibunuh.