Aminah nafi prestasi kurang memuaskan punca digugurkan

Siti Aminah Aching
Siti Aminah Aching
A
A
A

KOTA KINABALU - Bekas Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching tampil menafikan punca dia digugurkan daripada kabinet disebabkan prestasi kurang memuaskan.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Beaufort itu menjelaskan dia terpaksa mengambil cuti selepas menjalani pembedahan tiga bulan lalu.

"Memang dalam tiga bulan lepas saya bercuti sakit kerana baru selesai menjalani pembedahan kedua-dua lutut menyebabkan pergerakan saya terbatas.

"Bagaimanapun, saya masih boleh hadir program kementerian dan mewakili menteri bagi menjawab soalan di Dewan Rakyat. Cuma untuk bergerak jauh apa lagi turun ke kawasan memang sukar," katanya selepas pertemuan dengan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada malam Khamis.

Sehubungan itu, beliau menerima pengguguran itu dengan hati yang terbuka selain menganggap tindakan tersebut sebagai memberi ruang kepada Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Saya berlapang dada menerima pengguguran ini. Bagi saya mungkin untuk memberikan ruang kepada Noraini selaku Ketua Wanita UMNO, kita perlu akur dan melihat kedudukan hierarki dalam parti.

"Walaupun dari awal saya tidak dimaklumkan tentang pengguguran jawatan ini, namun ia merupakan hak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melantik dan kita perlu profesional serta terbuka menerima keadaan ini," katanya.

Beliau dalam pada itu turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Timbalannya yang juga merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Bung Moktar yang memberikan kepercayaan serta sokongan yang melantik beliau sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya akan meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagai ahli Parlimen dan ahli parti. Kini saya akan lebih fokus untuk memberikan perhatian hal kawasan terutamanya di Parlimen Beaufort yang sebelum ini terhad dengan tugas saya di Kementerian Peladangan dan Komoditi," ujarnya