Mat Rock pacu nama Malaysia pada RFC Grand Final 2023

Mat Rock 4x4 (Team 114) merupakan satu-satunya pasukan dari Malaysia muncul juara kategori Jentera Pengeluaran Standard.
Mat Rock 4x4 (Team 114) merupakan satu-satunya pasukan dari Malaysia muncul juara kategori Jentera Pengeluaran Standard.
A
A
A

PENGALAMAN bertanding bersama para peserta antarabangsa pada kejohanan RFC Grand Final 2023 membuatkan Mohd Rezuan Kihi dan Mohd Ismail Alias lebih bersemangat untuk menyertai cabaran kenderaan pacuan empat roda pada masa akan datang.

Lebih menarik, Rezuan dan Ismail yang mewakili pasukan Mat Rock 4x4 (Team 114) merupakan satu-satunya pasukan dari Malaysia yang memenangi hadiah utama pertandingan itu apabila muncul juara kategori Jentera Pengeluaran Standard.

Dalam pertandingan yang diadakan di Perak pada 1 hingga 11 Disember lalu itu menyaksikan Konev Sergey dan Blinov Dmitrii dari Rusia (Team 150) dinobatkan sebagai juara keseluruhan selain turut memenangi Kategori Jentera Prototaip.

Selain itu, Kategori Pengeluaran Diubahsuai dimenangi Aleksei Filiar dan Denis Kupriianov dari Rusia (Team 102).

Rezuan berkata, RFC Grand Final pada tahun ini sangat mencabar dalam menguji pemandu mengatasi alam dan menguji kehebatan pemanduan mereka melalui cerunan bukit, rupa bumi tidak rata dan air berlumpur.

Beliau berkata, semua pasukan akan cuba mengharungi laluan berhalangan yang mencabar skil pemanduan dan kemampuan jentera 4x4 mereka di 40 Special Stages (SS) pada fasa Prologue, Terminator, Predator, Twilight Zone dan SS Finale.

“Ia berlangsung di sekitar Bulatan Sultan Azlan Shah, Ulu Kuang, Sungai Durian, Bekut, Sungai Siput, Kuala Kangsar dan Lenggong.

“Hanya gabungan pemandu dan jentera terbaik, ditambah dengan pilihan bahan api dan minyak enjin yang tepat akan mendorong pasukan untuk menamatkan pertandingan.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, kami amat berbangga dengan kejayaan yang dicapai kali ini kerana turut bersaing sengit dengan peserta lain yang tidak kurang hebatnya” katanya.

Selain mempertandingkan 25 jentera 4x4, RFC Grand Final ke-26 itu turut disertai kira-kira 300 pegawai dan kru sokongan serta wakil media dari Rusia, Mongolia, China, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Vietnam, India, Sri Lanka, Thailand, Jepun, Italy, Filipina, Indonesia, France, Slovenia, Laos dan Wales.

RFC Grand Final 2023 merupakan pertandingan pacuan empat roda yang berjaya memperkenalkan Malaysia di mata dunia sehingga dinobatkan tempat ketiga daripada 10 pertandingan permotoran paling lasak di dunia sebaris dengan Dakar Rally, BAJA Race, Le Mans 24hr Race dan Isle of Man Race.

Dalam pada itu, pada tahun ini, penganjur RFC Grand Final turut memperkenalkan Kategori Campuran Wanita dan Lelaki yang dimenangi oleh Sakuna Boonphueak dan Mongkon Piendee (Team 171) dari Thailand.

Sakuna mengungguli kategori Campuran Wanita dan Lelaki RFC Grand Final 2023 di Perak baru-baru ini.
Sakuna mengungguli kategori Campuran Wanita dan Lelaki RFC Grand Final 2023 di Perak baru-baru ini.

Sakuna yang kali pertama menyertai RFC berkata, kehadirannya pada kejohanan tersebut bukan sekadar melengkapkan senarai peserta tetapi adalah untuk bersaing menamatkan pertandingan sehingga ke garisan penamat.

“Saya bersama jurupandu arah Mongkon Piendee amat teruja untuk menamatkan setiap cabaran dengan meredah hutan belantara, melalui kawasan denai sungai, mendaki bukit, menuruni cerun becak serta mengharungi air sungai di sepanjang kejohanan ini berlangsung.

“Saya berharap lebih ramai wanita menyertai sukan permotoran lasak pada masa hadapan terutamanya di RFC ini,” tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!