KSU kementerian baharu diumum masa terdekat - KPPA

Zulkapli (dua dari kiri) mendaftar MyDigital ID bersama warga kerja JPA di lobi JPA pada Khamis. - Foto Bernama
Zulkapli (dua dari kiri) mendaftar MyDigital ID bersama warga kerja JPA di lobi JPA pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A
PUTRAJAYA - Pelantikan Ketua Setiausaha (KSU) untuk kementerian baharu yang diwujudkan susulan rombakan Kabinet pada Selasa lepas akan diumumkan dalam masa terdekat, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed.

Beliau berkata, rombakan dalam kalangan KSU akan dilaksanakan untuk memastikan setiap kementerian itu diterajui KSU bagi penyelarasan di peringkat kementerian agar tidak berlaku sebarang pertindihan tanggungjawab dan kuasa.

"Sudah tentu akan ada lagi (KSU). Rombakan KSU yang akan dilakukan untuk memastikan semua kementerian mempunyai KSU masing-masing," katanya kepada media selepas membuat pendaftaran Identiti Digital Nasional atau MyDigital ID bersama warga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini pada Khamis.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan rombakan Kabinet pada 12 Disember lepas mengumumkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) serta Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dipecahkan.

NRECC dipecahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, manakala KKD dipecahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.



Mengenai perkembangan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), Zulkapli berkata, laporan interim kajian sistem itu yang mengandungi syor-syor dijangka diserahkan kepada Perdana Menteri pada Januari tahun hadapan.

"Ia (laporan) masih memerlukan tambah baik kerana ini ialah laporan pertama yang disediakan selepas sahaja Perdana Menteri mengarahkan satu jawatankuasa ditubuhkan bagi mengkaji semula sistem saraan perkhidmatan awam," katanya.

Pada 14 Julai lepas, kerajaan bersetuju mengkaji semula sistem saraan dengan mengambil kira peningkatan kos sara hidup dan tiadanya semakan gaji dibuat sejak 2012. Susulan itu, mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) diadakan pada 7 Ogos lepas bagi membincangkan SSPA sebagai inisiatif pembaharuan dalam perkhidmatan awam.

Berkenaan MyDigital ID, Zulkapli berkata, usaha akan dilakukan untuk memastikan semua penjawat awam berdaftar dengan MyDigital ID yang akan memberi kemudahan bagi urusan penyampaian perkhidmatan lain melibatkan semua kementerian.

Beliau berkata, MIMOS Bhd sebagai agensi pelaksana program MyDigital ID akan menyediakan kemudahan mencukupi menjelang pertengahan tahun hadapan, dan seterusnya pendaftaran mula dilaksanakan kepada semua kementerian dan seluruh negara.
Artikel Berkaitan:


MyDigital ID merupakan satu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian dengan kemudahan single sign on (SSO). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!