KWP berjaya peroleh RM481 juta untuk DBKL

Khalid Abd Samad
Khalid Abd Samad
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) berjaya mendapatkan RM481 juta untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada tahun ini melalui kajian semula kepada 97 transaksi tanah yang meragukan, kata Menterinya Khalid Abd Samad.

Beliau berkata, semua rundingan di bawah KWP dan agensinya kini dibuat mengikut satu dasar dan peraturan yang jelas berdasarkan penilaian yang dibuat oleh Jabatan Penilaian Hartanah.

"Tidak ada tawaran istimewa atau harga murah atau lebih mahal daripada penilaian. Apa yang pernah berlaku dulu tidak akan berlaku lagi kerana KWP telah tentukan prosedur yang ketat berhubung semua transaksi tanah," katanya dalam sidang media mengenai pencapaian KWP dan agensi di bawahnya sepanjang 2019 di sini hari ini.

Khalid turut berkongsi mengenai keberkesanan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Program Perumahan Rakyat (PPR) atau program anak angkat pemaju dengan syarikat swasta terlibat dalam menaik taraf kemudahan sedia ada.

"Satu PPR diletakkan di bawah jagaan satu syarikat pemaju untuk ditingkatkan mutu kehidupan penghuni PPR. Masalah dulu pemaju banyak beri sumbangan tapi sumbangan itu tidak tahu pergi ke mana. Ini berdasarkan maklumat daripada pemaju sendiri," katanya.

"Jadi sekarang sumbangan jangan beri kepada menteri, pegawai atau kakitangan. Beri dalam bentuk CSR menerusi program dan kerja penyelenggaraan, pembaikan, pengindahan dan berinteraksi dengan penduduk di PPR supaya kitaran kemiskinan tidak berterusan," kata Khalid.

Menyentuh mengenai kejayaan Perbadanan Putrajaya, Khalid berkata, sebanyak 212 acara bertaraf antarabangsa berjaya dianjurkan di pusat pentadbiran persekutuan itu sehingga berjaya menarik sehingga enam juta pengunjung.

Di Labuan pula, edisi pertama Festival Layang-layang Antarabangsa 2019 berjaya menarik 34 penyertaan luar negara antaranya Jerman, Australia, Jepun dan Sweden. - Bernama

Artikel Berkaitan: