Suhu di Australia cecah lebih 40 darjah Celsius

Suhu meningkat lebih 40 darjah Celsius akibat kebakaran belukar yang semakin teruk di Australia. - Foto: AFP
Suhu meningkat lebih 40 darjah Celsius akibat kebakaran belukar yang semakin teruk di Australia. - Foto: AFP
A
A
A

SYDNEY - Kebakaran yang semakin tidak terkawal di Australia akibat gelombang panas melampau menyebabkan suhu mencecah lebih 40 darjah Celsius di setiap negeri semalam.

Kebakaran paling teruk dilaporkan di Victoria akibat tiupan angin kencang yang menyebabkan api semakin marak.

Kira-kira 30,000 penduduk dan pelancong terpaksa meninggalkan East Gippsland, kawasan tumpuan pelancong namun ramai yang terkandas berikutan api marak di laluan utama.

Seorang sukarelawan bomba turut dilaporkan terbunuh ketika cuba mengawal kebakaran di New South Wales (NSW), sekali gus menjadikan jumlah kematian dalam krisis kebakaran belukar sejak September lalu mencecah 10 orang.

Ahli meteorologi memaklumkan sistem iklim di Lautan Hindi dikenali sebagai dipol adalah pemacu utama di sebalik suhu panas melampau di Australia.

Sementara itu, cuaca panas melampau, angin kencang dan ribut petir telah menyebabkan keadaan berbahaya di Victoria.

Di East Gippsland, tiga kebakaran berlaku dengan cepat berhampiran bandar Bruthen, Buchan dan Bonang selepas suhu meningkat kepada pertengahan 40 darjah Celsius. - Agensi

Artikel Berkaitan: