Gara-gara najis kucing jiran pun boleh bergaduh

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

BARU-BARU ini, Merak Jalanan melihat sendiri senario masyarakat berjiran yang sampai ke tahap bermusuhan akibat haiwan peliharaan mereka.

Kedua-duanya sudah lama berjiran sejak awal perkahwinan sehingga anak masing-masing sudah melangkah ke alam remaja.

Kalau Merak Jalanan pergi ke pasar malam di Shah Alam itu, mesti nampak mereka berdua. Sungguh payah untuk pisahkan mereka.

Salah seorang daripada dua sahabat baik itu ada membela kucing parsi yang dibeli pada harga mencecah ribuan ringgit.

Seorang lagi memang tidak ada niat langsung untuk memelihara haiwan dalam rumah. Katanya, bela anak sendiri lagi bagus berbanding pelihara haiwan.

Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari Merak Jalanan berasa pelik apabila melihat jiran yang begitu akrab menjadi sanggat renggang.

Bila ditanya ke mana seorang lagi pergi, memang tiada jawapan, sebaliknya jelingan tajam yang kita dapat.

Merak Jalanan yang sememangnya berasa pelik dengan situasi itu terus bertanya dengan seorang lagi jiran paling dekat dengan kedua-dua sahabat karib yang sudah renggang itu.

Rupanya najis kucing punca pergaduhan mereka!

Awalnya Merak Jalanan berasa agak lucu dengan keadaan mereka tetapi apabila difikirkan semula, ada patutnya si sahabat itu mengamuk.

Kalau Merak Jalanan di tempat dia, mesti marah juga. Mana tidaknya, karpet yang baru dicuci dan sedang dijemur telah dinoda najis haiwan kesayangan jiran sebelah.

Di barisan rumah mereka itu, hanya dia seorang memelihara kucing. Memang tidak syak lagi siapa suspeknya.

Artikel Berkaitan:

Bermula dari situlah, mereka bertengkar dan saling tuduh menuduh. Seorang dituduh tidak pandai jaga kucing, seorang lagi dakwa najis itu bukan ‘kepunyaan’ kucingnya.

Kejadian itu berlarutan sejak bulan lalu dan Merak Jalanan berharap sangat mereka boleh berbaik semula.

Itulah impak najis kucing!