PSM akur guna kiraan 15 mata

Pemain Thailand, Varayut Jantarasena (kanan) melakukan hadangan terhadap pemain Malaysia Mohamad Azlan Alias dalam perlawanan akhir berpasukan lelaki acara sepak takraw semasa Sukan Asia Hangzhou 2022 di Jinhua pada 29 September lalu. - Foto AFP
Pemain Thailand, Varayut Jantarasena (kanan) melakukan hadangan terhadap pemain Malaysia Mohamad Azlan Alias dalam perlawanan akhir berpasukan lelaki acara sepak takraw semasa Sukan Asia Hangzhou 2022 di Jinhua pada 29 September lalu. - Foto AFP
A
A
A

PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) akur keputusan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) untuk menggunakan sistem kiraan 15 mata serta setiap regu hanya memperoleh satu servis berbanding sekarang tiga kali bagi semua kejohanan domestik dan antarabangsa bermula 1 Februari tahun depan.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan bagaimanapun memaklumkan, pihaknya masih akan berbincang dengan ISTAF bagi mengekalkan sistem kiraan 21 mata jika mempunyai peluang berbuat demikian menerusi perjumpaan bersama badan antarabangsa itu pada masa akan datang.

Katanya, sistem kiraan mata baharu itu dilihat tidak bersesuaian kerana berkemungkinan tidak memberi kepuasan kepada pemain serta penonton yang hadir apabila tempoh masa perlawanan dipendekkan.

“Kita (PSM) sudah beri cadangan (untuk satu servis tetapi kekal 21 mata), tetapi keputusan pun sudah dibuat jadi kita kena ikut. Maknanya kami akur dengan keputusan ISTAF kenalkan 15 mata kiraan, namun nanti kalau ada ruang perjumpaan (bersama ISTAF) saya akan suarakan lagi (kekalkan sistem kiraan 21 mata).

“Kita pernah buat demo kiraan 15 mata cuma bezanya kita tidak buat tiga servis ketika itu dan sudah perhalusi macam tiada kesesuaian memandangkan masa yang terlalu pendek dengan keunikan atau seni sukan takraw akan hilang sedikit,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Mohd Sumali berkata, kejohanan Asia di Korea Selatan pada April tahun depan berkemungkinan merupakan acara pertama yang akan menggunapakai sistem baharu berkenaan diikuti kejohanan Piala Dunia di ibu negara (Kuala Lumpur) pada Mei.

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader sebelum ini memaklumkan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif ISTAF yang berlangsung pada 8 Disember memutuskan akan mengguna pakai sistem kiraan 15 mata.

Katanya, setiap regu memperoleh satu servis berbanding sekarang tiga kali bagi semua kejohanan peringkat domestik dan antarabangsa bermula 1 Februari tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, menerusi sistem kiraan 15 mata, sekiranya pasukan terikat 14-14, maka satu daripada regu yang meraih mata ke-17 akan dikira sebagai pemenang.