Ubah persepsi wakil rakyat bukan tempat dapatkan bantuan kewangan

Datuk Dr Anis Yusal Yusoff.
Datuk Dr Anis Yusal Yusoff.
A
A
A

SHAH ALAM - Semua parti politik di negara ini perlu berani mengubah persepsi bahawa wakil rakyat bukan lagi tempat untuk mendapatkan bantuan kewangan.

Pengarah Pusat Kepimpinan dan Pembangunan Profesional Universiti Malaya (UM Lead), Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata, perubahan itu perlu segera dilakukan sekiranya mahu membebaskan Malaysia dari belenggu rasuah.

Malah katanya, sistem politik demokratik di peringkat bawah perlu diperbetulkan semula supaya semua pihak memahami peranan masing-masing.

“Di sinilah pentingnya literasi atau pendidikan politik kepada rakyat supaya tidak ada yang berterusan mengharapkan bantuan kewangan daripada pemimpin untuk menyelesaikan masalah mereka.

“Rakyat perlu tahu kita ada tiga peringkat kerajaan iaitu kerajaan tempatan, negeri dan Persekutuan yang mempunyai peranan masing-masing.

"Sebagai contoh kerajaan tempatan tanggungjawabnya menjaga parit tersumbat serta isu-isu setempat yang lain. Di peringkat negeri pula ada peranan dan begitu juga kerajaan pusat.

“Jadi, parti politik di negara ini mungkin perlu bermula daripada sekarang (untuk beri kefahaman kepada rakyat) sebab sehingga kini saya masih belum nampak ada mana-mana parti yang mengadakan kursus untuk mendidik masyarakat tentang demokrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Bicara Bina Negara: Sudah Hilangkah Maruah?' sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) Rasuah Busters 2023 di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.

Program itu turut menampilkan seorang lagi panelis iaitu Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk manakala Ismail Adnan bertindak selaku moderator.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Anis Yusal berkata, sudah tiba masanya untuk semua parti politik menyatakan iltizam untuk ‘membiasakan yang betul dan membetulkan yang biasa’.

Mengambil contoh kajian yang dijalankan sebuah firma baru-baru ini yang mendapati persepsi rakyat terhadap isu rasuah dalam kepimpinan politik tidak lagi menjadi isu utama sebagai perkara yang membimbangkan.

“Perlu difahami bahawa tanggungjawab wakil rakyat adalah membuat dasar dan undang-undang di Parlimen, bukan balik kawasan untuk beri duit kepada rakyat.

“Jadi, inilah perubahan yang perlu dibuat segera, jika tidak masalah rasuah ini akan berterusan dan tidak selesai,” katanya.