Kelantan tunggu tarikh bertemu PM

Mohamed Fadzli
Mohamed Fadzli
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan sedang menunggu tarikh pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan beberapa perkara demi kepentingan bersama rakyat di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, permohonan sudah dibuat Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

"Perdana Menteri sudah bersetuju dan kita masih menunggu tarikh dengan harapan boleh bertemu dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Dr Mohamed Fadzli memberitahu, Anwar turut memuji kerajaan Kelantan berkaitan pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) atas kerjasama penuh yang diberikan.

"Kita memang memberi kerjasama sepenuhnya dan tiada masalah. Beliau berpuas hati kerana tiada isu dan semua sudah selesai.

"Kerajaan Kelantan mahu projek ini dapat berjalan dengan lancar dan siap mengikut jadual ditetapkan," katanya.

Anwar melalui Facebook beliau pada Selasa mengingatkan semua pihak termasuk kerajaan negeri yang terbabit dalam pembinaan ECRL berganding bahu bagi memastikan projek berkenaan disiapkan mengikut jadual.

Artikel Berkaitan:

Beliau sebelum itu menerima kunjungan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing serta delegasi dari China Communications Construction Company (CCCC) diketuai pengerusinya Wang Tongzhou.

@sinarharianonline Kelantan tunggu tarikh bertemu PM. #SinarHarian#SinarTerkini#beritaditiktok#fyp#AnwarIbrahim Breaking News Background Music (Basic A)(1001538) - LEOPARD