Johari kekal Pengerusi Pasukan Petugas 1MDB

Johari meletakkan kad perakam waktu sebaik tiba di lobi kementerian pada Rabu.
Johari meletakkan kad perakam waktu sebaik tiba di lobi kementerian pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani kekal sebagai Pengerusi Pasukan Petugas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meskipun dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi yang baharu.

"Insya-ALLAH buat masa sekarang, saya masih," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengimbas kad perakam waktu di lobi kementerian pada Rabu.

Turut hadir Timbalan Menteri, Datuk Chang Foong Hin dan pegawai kanan kementerian.

Ditanya adakah posisi beliau akan digantikan oleh individu lain selepas ini, Johari berkata:

"Tengoklah siapa berani buat, buatlah," katanya.

Johari mengetuai pasukan itu sejak Mac lalu bagi menyelesaikan beberapa isu membabitkan skandal 1MDB terutamanya dalam menyelesaikan isu berhubung tuntutan kerajaan terhadap Kumpulan Goldman Sachs bernilai AS$2.5 bilion.

Dalam pada itu, Johari berkata, kerja-kerja tuntutan terhadap Goldman Sachs bagi pihak kerajaan telah selesai dan kini ia di peringkat pemantauan perkembangan.

"Mereka masih belum mahu membuat bayaran pertama AS$250 juta kerana memberi alasan setiap penyelesaian yang kita buat melalui Ambank dan International Petroleum Investment Company (IPIC) itu sebagai salah satu pemulihan aset. Sebenarnya tidak.

Artikel Berkaitan:

"Ia sebenarnya tidak termasuk di dalam konsep pemulihan.

"Pemulihan adalah kita cari benda-benda (aset) di luar sana yang telah hilang melalui 1MDB," katanya.

Pada tahun 2020, Goldman Sachs bersetuju membayar AS$3.9 bilion untuk menyelesaikan siasatan jenayah dijalankan Malaysia terhadap peranan bank pelaburan Amerika Syarikat (AS) itu dalam skandal dana 1MDB yang membabitkan berbilion dolar.

Pihak berkuasa Malaysia serta AS menganggarkan AS$4.5 bilion telah dicuri daripada 1MDB melalui skim terperinci yang menjangkau serata dunia dengan membabitkan bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak; pegawai peringkat tinggi dalam dana itu; kakitangan Goldman dan lain-lain lagi.

Jabatan Peguam Negara memfailkan balasan kepada Pendaftar Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London (LCIA) berhubung permohonan untuk timbang tara pelaksanaan perjanjian antara kerajaan Malaysia, 1MDB dan Goldman Sachs.

Menyentuh mengenai hala tuju kementerian, Johari berkata, beliau akan mengukuhkan hubungan dengan pemain industri dalam sektor perladangan dan komoditi.

"Semua industri terlibat dengan kementerian ini dan saya juga akan mesyuarat secara berkala dengan mereka," katanya.

Selain itu ujar beliau, segala dasar dan perancangan kementerian sedia ada akan diteruskan.

"Mereka telah melakukan kerja yang baik kerana apabila saya tengok di laman web kementerian, semuanya sangat menyeluruh," katanya.