Ribuan unit jam tangan berjenama tiruan dirampas

Sebahagian jam tangan berjenama tiruan yang disimpan dan dibungkus semula bagi dijual kepada orang ramai.
Sebahagian jam tangan berjenama tiruan yang disimpan dan dibungkus semula bagi dijual kepada orang ramai.
A
A
A

SERDANG - Pemburuan hampir dua tahun akhirnya membuahkan hasil apabila 'pusat' penyimpanan jam tangan berjenama tiruan diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Selasa.

Premis perniagaan yang terletak di lokasi kediaman di Seri Kembangan, dekat sini dijadikan pusat pembungkusan semula dan operasi syarikat terbabit dalam menjual jam berjenama tiruan kepada orang ramai.

Malah premis yang diubah suai menjadi dua tingkat turut mempromosikan perniagaan secara dalam talian.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, pihaknya telah menggerakkan satu operasi dan serbuan ke atas sebuah premis bernombor dipercayai dijadikan stor simpanan barang tiruan, selain turut menjadikan lokasi tersebut sebagai urusan perniagaan secara dalam talian.

Kata beliau, premis yang terletak di dalam bangunan kompleks apartment (kediaman) itu dipercayai menjual pelbagai jenis jam tangan berjenama popular.

Sebahagian jam tangan berjenama tiruan yang disimpan dan dibungkus semula bagi dijual kepada orang ramai.
Sebahagian jam tangan berjenama tiruan yang disimpan dan dibungkus semula bagi dijual kepada orang ramai.

Beliau berkata, tindakan serbuan tersebut dijalankan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 bersama wakil daripada agensi terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan serbuan dijalankan jam 1.30 petang dengan kekuatan anggota serbuan seramai enam orang.

"Malah ia dilaksanakan secara sinergi bersama pihak pengadu selaku wakil cap dagang yang sah.

"Premis yang digunakan ini dipercayai telah beroperasi dan menjalankan jualan secara dalam talian sejak Ogos lalu," katanya pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Zuhairi berkata, ekoran serbuan tersebut, pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia bawah 30 tahun dan hasil siasatan awal mendapati individu itu merupakan pemilik premis.

Jelas beliau, lelaki tersebut ditahan untuk sementara waktu untuk tujuan rakaman percakapan bagi keperluan siasatan awal pasukan serbuan.

Tambahnya, pihak serbuan juga menemui empat individu yang dipercayai pekerja premis yang sedang menjalankan aktiviti urus niaga secara dalam talian menerusi tapak jualan popular masa kini.

Beliau berkata, anggaran sitaan bagi serbuan kali ini adalah sebanyak RM241,236 dan merupakan nilai rampasan jam tangan berjenama tiruan terbanyak melibatkan barang tiruan kategori aksesori.

Sehubungan itu katanya, sitaan telah dilakukan ke atas semua barang rampasan dan akan disimpan serta dikawal di bawah pengurusan ekshibit KPDN Selangor sepanjang siasatan dijalankan.

Anggota KPDN membuat pemeriksaan jam tangan berjenama yang dipercayai tiruan menerusi satu serbuan di Seri Kembangan, Selangor pada Selasa.
Anggota KPDN membuat pemeriksaan jam tangan berjenama yang dipercayai tiruan menerusi satu serbuan di Seri Kembangan, Selangor pada Selasa.

"Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 kerana menggunakan cap dagangan secara tidak sah dan tidak didaftarkan.

"Hukuman bagi individu yang melakukan kesalahan ini adalah tidak melebihi RM10,000 bagi setiap satu barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua duanya sekali.

"Bagi pihak syarikat, denda yang dikenakan adalah tidak lebih RM15,000 bagi setiap satu barang," ujarnya.

Mohd Zuhairi berkata, tindakan berterusan akan terus dilaksanakan bagi membanteras jenayah harta intelek.

Selain itu menurutnya, pengguna dan orang ramai disarankan untuk menjadi pengguna bijak dan bersama sama menghormati hak harta intelek.

"Diharap orang ramai tidak sesekali menyokong peniaga yang mengaut keuntungan tidak sah dengan mencuri cap dagangan sah.

"Aktiviti seperti ini sebenarnya memberi kerugian kepada ekonomi perdagangan harta Intelek dalam negara," katanya.