Program IPR-Intan diperluaskan bantu B40, miskin tegar - Rafizi

Rafizi (kanan) dan Saarani (dua dari kanan) melawat tapak projek IPR Intan@NCER di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Ipoh.
Rafizi (kanan) dan Saarani (dua dari kanan) melawat tapak projek IPR Intan@NCER di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat - Inisiatif Usahawan Tani (IPR-Intan) akan diperluaskan seluruh negara bagi membantu menjana pendapatan golongan B40 dan miskin tegar.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, program itu akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan terlibat dalam industri pertanian moden itu.

Menurut beliau, sokongan daripada kerajaan negeri diperlukan bagi menyediakan tanah selain milik kerajaan Persekutuan.

"Tanah kerajaan Persekutuan yang sudah ditanda dengan projek tertentu seperti kerja pembesaran hospital di kem tentera atau sekolah. Tetapi membangunkan projek itu mengambil masa kadang-kadang 10 tahun tak jadi lagi.

"Jadi langkah awal adalah kita minta tanah daripada kementerian-kementerian persekutuan untuk diusahakan dalam tempoh sekurang-kurangnya lima tahun.

"Tapi tanah yang lebih banyak adalah di bawah kerajaan negeri masing-masing. Ini memerlukan kerjasama rapat yang mana kerajaan memberikan dana, konsep dan latihan sementara kerajaan negeri memberikan tanah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan IPR-Intan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di Hospital Bahagia Ulu Kinta, di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Rafizi bergambar bersama peserta-peserta program pada Majlis Pelancaran IPR-Intan@NCER di Hospital Bahagian Ulu Kinta di Ipoh.
Rafizi bergambar bersama peserta-peserta program pada Majlis Pelancaran IPR-Intan@NCER di Hospital Bahagian Ulu Kinta di Ipoh.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan.

Rafizi berkata, lima ladang dibuka di bawah projek IPR-Intan NCER akan mengeluarkan lebih 2,100 tan hasil tanaman cili, jagung dan terung dengan nilai pasaran lebih RM29 juta.

"Dari segi pemasaran, kementerian telah memastikan bahawa hasil tanaman itu nanti akan ada 'off-taker' iaitu pemborong mahupun kilang bagi mengelakkan peserta menanggung risiko kerugian.

"Perkara itu akan membantu menangani risiko harga kerana dari segi perjanjiannya, peserta mestilah memperoleh sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan sepanjang program ini," katanya.

Sementara itu, Saarani menyambut baik usaha projek tersebut dan bersedia untuk memperluaskannya ke setiap daerah di Perak.

"Kerajaan negeri secara kebetulan memang kita ada program sekuriti makanan yang diterajui oleh Perak SADC (Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak).

"Jadi kita akan berjumpa dengan kementerian untuk menawarkan tanah-tanah Perak SADC kerana bukan sahaja dapat membasmi kemiskinan tetapi menjaga sekuriti makanan," katanya.