Osimhen dinobat pemain terbaik Afrika

Osimhen dinobatkan sebagai pemain terbaik Afrika. Foto AFP
Osimhen dinobatkan sebagai pemain terbaik Afrika. Foto AFP
A
A
A

PENYERANG Napoli dari Nigeria, Victor Osimhen yang dinobatkan sebagai pemain terbaik tahunan Afrika menyifatkan anugerah itu seperti mimpi menjadi kenyataan.

Penganugerahan itu berlangsung dalam satu majlis yang dianjurkan Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF) di Marrakesh, Maghribi awal pagi Selasa.

“Ia satu impian menjadi kenyataan buat saya,” kata Osimhen.

Osimhen membantu Napoli meraih gelaran Serie A Itali musim lalu, mengatasi pemain pertahanan Paris Saint-Germain dari Maghribi, Achraf Hakimi dan pemain sayap Liverpool, Mohamed Salah dari Mesir untuk memenangi anugerah utama itu.

“Saya menghargai warga Nigeria kerana sokongan mereka.

"Saya menghargai Afrika kerana meletakkan di mana saya berada, memberi galakan dan mempertahankan saya, tidak kira apa kelemahan sekalipun,” ujar Osimhen.

Pemain berusia 24 tahun itu cemerlang bersama Napoli apabila meledak 31 gol dalam semua kejohanan sekali gus menyumbang kepada kejayaan mereka mengungguli liga Itali menamatkan kemarau selama 33 tahun.

Osimhen menyertai Napoli pada 2020 selepas berhijrah dari kelab Perancis, Lille menerusi yuran perpindahan 70 juta euro (RM353 juta).

Artikel Berkaitan:

Nilai Osimhen ketika ini dianggarkan mencecah 200 juta euro (RM1.007 bilion).

Bakat Osimhen dicungkil melalui pencari bakat dari Eropah pada Piala Dunia Bawah 17 tahun (B-17) di Chile pada tahun 2015 dan kemudian menyertai kelab Jerman, Wolfsburg.

Selepas itu dia dipinjamkan ke Charleroi sebelum menyertai kelab Belgium tersebut secara perpindahan tetap.

Ketika bersama Lille pada 2019, Osimhen menyumbat 13 gol daripada 27 penampilan.