Populasi ikan sungai di Sabah meningkat

Sungai Tuaran di Kampung Lingga, Kiulu antara salah satu sungai yang ditagal.
Sungai Tuaran di Kampung Lingga, Kiulu antara salah satu sungai yang ditagal.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 628 tagal melibatkan 227 batang sungai berjaya diwujudkan di seluruh Sabah menurut rekod Jabatan Perikanan Sabah.

Angka tersebut menunjukkan kejayaan negeri ini dalam mengekalkan kelestarian sungainya daripada ancaman pencemaran dan membantu memelihara ikan jenis endemik yang ada di Sabah.

Pengarah Perikanan Sabah, Azhar Kassim berkata, hasil daripada konsep tagal yang diamalkan terbukti menerusi peningkatan populasi ikan di sungai-sungai di negeri ini.

“Apabila kita pelihara ikan tersebut ia akan membiak dan ikan ini tidak semestinya akan berada di suatu tempat saja tetapi akan bermigrasi untuk mewujudkan habitat di tempat lain.

“Ia terbukti hasil daripada pemerhatian, kawasan sungai yang dulunya tiada ikan tetapi apabila selepas ditagal, didapati mulai ada pembiakan ikan.

“Salah satu contohnya ialah di Sungai Semalang, Keningau di mana dulu sungai ini tiada ikan dan dijadikan tempat membuang sampah,

“Tetapi selepas ia di tagal, ikan mulai membiak dan pembuangan sampah dapat dikawal,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.

Sistem tagal merupakan satu peraturan berasaskan adat masyarakat Kadazandusun di Sabah berhubung pemeliharaan sungai bagi mengelak kepupusan ikan air tawar akibat penangkapan yang tidak terkawal.

Menerusi sistem tagal, aktiviti menangkap ikan hanya dibenarkan sekali setahun dan dijadikan pesta yang dinantikan penduduk.

Tambah Azhar, faktor kejayaan tagal itu antaranya disebabkan penguatkuasaan Enakmen Perikanan Darat dan Akuakultur dan peranan Mahkamah Anak Negeri (MAN).

“Peranan Jabatan Perikanan adalah untuk terus mengekalkan konservasi ikan-ikan tersebut walaupun ada ikan di sungai akan ditangkap tetapi dilakukan secara optimum dan menggunakan alat yang betul.

“Jabatan Perikanan sangat serius mengenai penggunaan kaedah haram menangkap ikan seperti racun, tuba dan elektrik di sungai-sungai dan jika didapati menyalahi peraturan, kita tidak akan berkompromi dengan mengambil tindakan berlandaskan undang-undang.

“Kita menggunakan peranan MAN jika terdapat pelanggaran peraturan tagal,” jelasnya.

Ditanya adakah sistem tagal turut dilaksanakan di negeri lain, Azhar memaklumkan kerjasama daripada komuniti amat diperlukan untuk memastikan ia berjaya.

“Kita dimaklumkan, sistem ini sukar dilaksanakan di tempat lain kerana kurangnya penglibatan komuniti seperti yang dilakukan di Sabah.

“Di Sabah, komuniti sendiri yang terlebih dahulu melaksanakan aktiviti tagal dan Jabatan Perikanan berperanan meneruskan sistem ini dengan memberi nasihat dari masa ke masa selain menjalinkan memorandum persefahaman (MoU) bagi beberapa tagal di negeri ini,” katanya.


Iktiraf tagal sebagai aset tarikan pelancongan

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah sentiasa memberi keutamaan mengembangkan sistem tagal menerusi peruntukan yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ia dibuktikan menerusi pembentangan Belanjawan Sabah 2024 baru-baru ini apabila sebanyak RM10.43 juta telah diperuntukkan di bawah pembangunan untuk membiayai aktiviti konservasi melalui aktiviti tagal dan juga penempatan tukun tiruan untuk pembiakan ikan sama ada di sungai ataupun laut.

Joniston
Joniston

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai berkata, kerajaan negeri telah pun mengiktiraf tagal sebagai salah satu usaha untuk konservasi dan tarikan pelancong di Sabah.

“Ini satu perkara unik, tagal ini setahu saya tidak ada di negara lain dan inilah yang menjadi tarikan yang perlu kita ketengahkan.

“Kita perlu promosikan keunikan di Sabah dan banyak sudah pihak luar termasuk daripada bidang akademik datang untuk melihat sendiri sistem tagal dilaksanakan,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu berkata, kerajaan Sabah kini berada di landasan yang betul dalam usaha untuk konservasi alam sekitar dan pelancongan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!