Dua kanak-kanak termasuk bayi maut nahas dua kenderaan

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KOTA KINABALU - Dua lagi mangsa kanak-kanak termasuk seorang bayi yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Lintas dekat sini, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII).

Kanak-kanak yang maut difahamkan anak kepada wanita hamil yang dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi bayi berusia lima bulan juga merupakan anak saudara wanita terbabit

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan melibatkan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun menghala dari arah Penampang ke Kolombong.

Menurutnya, sebuah lagi kereta jenis Proton Iswara yang dinaiki sembilan individu termasuk dua bayi kembar dan tiga kanak-kanak datang dari arah bertentangan.

"Sebaik tiba di lokasi, kenderaan Toyota Hilux dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan dan merempuh Proton Iswara berkenaan.

"Akibat rempuhan itu, wanita yang duduk di bahagian penumpang hadapan Proton Iswara disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau lagi, mangsa lain yang turut parah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) dan HQEII untuk rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, dua kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia di HQEII," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zaidi berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada pemandu Toyota Hilux yang gagal mengawal kenderaan serta memandu secara berbahaya.

"Pemandu pacuan empat roda turut mengalami kecederaan di bahagian muka dan tangan. Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis juga sudah mengambil spesimen darah daripada pemandu Toyota Hilux untuk dianalisis kandungan alkohol oleh Jabatan Kimia,” katanya.

Sinar Harian sebelum itu melaporkan seorang wanita hamil maut di lokasi kejadian manakala dua lagi parah dalam kemalangan tersebut.