Pas perlu jadi jambatan antara PN, Kerajaan Perpaduan - Syed Abu Hussin

Syed Abu Hussin
Syed Abu Hussin
A
A
A

PUCHONG - Pas dinasihatkan agar memainkan peranan sebagai ‘orang tengah’ di dalam membina hubungan parti pembangkang dengan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, Pas tidak boleh berunding hanya dengan UMNO rentetan ruang baharu yang dibuka menerusi pemimpin tertingginya sebelum ini.

Menurutnya, kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin mengatakan Pas boleh bekerjasama dan tidak memusuhi parti terbesar Melayu itu.

“Ini satu ruang yang baharu dibuka dalam pentas politik Malaysia, Pas telah banyak kali bergabung dengan pelbagai parti.

“Saya nak minta Pas kali ini cuba luaskan perbincangan dengan mengajak Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berunding, kenapa hanya nak berunding dengan UMNO.

“Kalau dengan UMNO ada 30 kerusi sahaja tidak boleh bentuk kerajaan, kalau mereka (Pas) mempunyai tokoh untuk menjadi perdana menteri, mengapa tidak tokoh mereka digerakkan menjadi juru runding utama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di kediamannya di Puchong pada Isnin.

Jelasnya, dengan cara itu rakyat boleh melihat bagaimana bakal perdana menteri yang ditonjolkan oleh Pas dapat memajukan dan menyelesaikan masalah perpaduan dalam negara.

Artikel Berkaitan:

“Sebab perpaduan dalam negara ini bergantung kepada kedamaian dan keamanan kehidupan masyarakat majmuk dalam negara.

“Kita tak boleh tolak 40 peratus dalam negara ini bukan orang Melayu, ada Cina dan India yang mewakili parti masing-masing.

“Kalau Pas hendak menolak satu parti lain, yang berteraskan kaum dan tidak mahu bekerjasama, apa akan jadi pada negara, saya meminta Pas dengan hati yang lapang, tangan yang terbuka atas dasar agama boleh berbincang dengan sesiapa, mengapa tidak Pas teruskan perbincangan mewakili Perikatan Nasional (PN),” ujarnya

Syed Abu Hussin berkata, mungkin ada perkara peribadi yang kita tak tahu antara Bersatu, UMNO dan perdana menteri.

“Tetapi untuk negara saya menyeru Pas dengan kelebihan yang ada tunjukkan kepada rakyat penyelesaian yang mereka hendak buat,” katanya.