Tiada niat cabar pengundi Bukit Gantang – Syed Abu Hussin

Syed Abu Hussin Hafiz ketika sidang akhbar di kediamannya pada Isnin.
Syed Abu Hussin Hafiz ketika sidang akhbar di kediamannya pada Isnin.
A
A
A

PUCHONG – Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal memohon penduduk di kawasannya membenarkan beliau menghabiskan penggal sebagai wakil rakyat.

Wakil rakyat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu walau bagaimanapun memahami sekiranya ada dalam kalangan penyokong dan rakyat yang marah dengan tindakan tersebut.

Namun beliau menegaskan tidak sama sekali berniat untuk mencabar pengundi di Bukit Gantang selepas mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Yang pertama, saya tidak berniat untuk mencabar. Apa guna saya cabar pengundi saya. Yang kedua, mereka yang bawa sepanduk ini melahirkan rasa tidak puas hati, mungkin dia daripada parti.

“Tetapi ramai juga yang masih menyokong saya. Nak protes atau luah perasaan jangan sampai langgar undang-undang.

“Jangan sampai kumpul ramai-ramai buat mogok. Masing-masing ada hak untuk menyatakan (rasa) tidak puas hati,” katanya ketika sidang akhbar di kediamannya pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan segelintir penduduk Bukit Gantang yang membantah dan berdemonstrasi berikutan tindakannya menyokong kepimpinan Anwar, baru-baru ini.

Dalam pada itu Syed Abu Hussin Hafiz turut menyifatkan pihak yang mendesaknya meletak jawatan dan keluar daripada Bersatu sebagai perbuatan sia-sia.

Artikel Berkaitan:

“Saya minta kepada semua penyokong dan yang tidak menyokong khususnya di Parlimen, sabar dan tengok apa saya buat. Saya ada empat tahun.

"Yang mendesak saya letak jawatan, buang masa sebab mungkin mereka tidak faham apa yang berlaku dan dimomokkan dengan perkara lain.

“Selama setahun tiada peruntukan, saya buat kebajikan. Jadi saya tidak akan tinggalkan kawasan orang yang berjasa kepada saya,” ujarnya.