Memastikan Tabung Haji kekal kukuh, unggul

Tabung Haji menerima banyak pujian daripada negara luar mengenai caranya menguruskan jemaah haji. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Imran Mohammad Khayat)
Tabung Haji menerima banyak pujian daripada negara luar mengenai caranya menguruskan jemaah haji. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Imran Mohammad Khayat)
A
A
A

Meraih haji mabrur adalah harapan setiap Muslim ketika menjalani ibadah haji di Tanah Suci. Oleh itu, adalah tanggungjawab umat Islam untuk memastikan bahawa sumber pendapatan yang digunakan untuk perbelanjaan haji adalah halal.

Lembaga Tabung Haji (TH) telah memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat di negara ini untuk menabung secara patuh syariah sebagai persiapan untuk menjalani ibadah haji. Selain itu, TH kekal komited untuk mencapai misi dengan memberikan pulangan yang halal dan toyyib kepada para pendeposit.

Pada era prapenubuhan TH pada tahun 1962, rancangan penubuhan TH telah dibentangkan kepada Rektor Universiti Al-Azhar, Sheikh Mahmoud Shaltout serta delegasi dan para cendekiawan dari universiti itu. Ini kerana masyarakat Islam di Malaysia sebelum era penubuhan TH begitu cakna tentang pengharaman riba dan cuba mengelak untuk menyimpan wang di perbankan konvensional.

Rancangan penubuhan TH ini kemudiannya telah mendapat kelulusan serta penghargaan daripada Sheikh Mahmoud Shaltout serta delegasi Universiti Al-Azhar. Ini menunjukkan bahawa komitmen kepada prinsip syariah menjadi nadi jantung penubuhan TH.

Dengan demikian, dapat kita lihat bahawa penubuhan TH telah bersandarkan kepada asas prinsip syariah yang kukuh sejak awal prapenubuhan TH lagi sehinggalah ke era masa kini.

TADBIR URUS SYARIAH TH

Setelah melalui enam dekad sejak penubuhannya, TH telah melancarkan pelbagai usaha dan inisiatif bagi memastikan operasi berjalan dengan cekap dan agar ia dapat terus berada di barisan hadapan sebagai agensi patuh syariah yang dihormati, bukan sahaja di peringkat negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Salah satu inisiatif yang telah dijalankan oleh TH untuk memperkukuh tadbir urus adalah dengan memperkenalkan amalan Rangka Kerja Tadbir Urus Syariah dan menubuhkan panel Jawatankuasa Penasihat Syariah yang terdiri daripada pakar-pakar syariah dan kewangan Islam.

Artikel Berkaitan:

Secara umumnya, di bawah Rangka Kerja Tadbir Urus Syariah ini juga terdapat fungsi-fungsi syariah yang lain seperti Perundingan dan Kajian Syariah, Semakan dan Pemantauan Syariah, Pengurusan Risiko Syariah dan Audit Syariah dalam memastikan kepatuhan syariah secara komprehensif. Selain daripada itu, TH juga telah melancarkan Rangka Kerja Pengawasan TH (RKP) pada September 2021.

Penubuhan RKP dan Rangka Kerja Tadbir Urus Syariah ini bertindak sebagai asas kawalan tadbir urus TH dan sekali gus memastikan bahawa TH dapat menjalankan mandat pengurusan haji dengan lebih efisien dan berkesan.

KEFAHAMAN KONSEP ISTITO'AH DALAM IBADAH HAJI

Ibadah haji memiliki keunikan tersendiri kerana ia menggabungkan dua aspek iaitu aspek material dan fizikal. Ini berbeza dengan solat dan berpuasa yang hanya memerlukan aspek fizikal, seperti menahan lapar dan dahaga. Secara umumnya, umat Islam yang belum mencapai tahap istito’ah adalah tidak diwajibkan untuk menjalankan ibadah haji. Konsep istito'ah bukanlah sesuatu yang baharu dan telah dibincangkan oleh para ulama dan fuqaha' daripada empat mazhab sejak dahulu.

Konsep istito'ah merangkumi tiga aspek, iaitu kemampuan kewangan (istita'ah al-maliyah), kemampuan fizikal (istita'ah al-badaniyah), dan kemampuan keselamatan diri (istita'ah al-amniyyah).

Para fuqaha’ telah bersepakat bahawa istito’ah adalah salah satu daripada syarat umum wajib haji, maka barang siapa yang tidak mempunyai istito’ah (kemampuan) maka kewajipan hajinya tergugur. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran, ayat 97 yang bermaksud:

“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

Tambahan lagi, menurut Imam Al-Syarbini, syarat istito’ah adalah mencakupi aspek keupayaan kewangan yang cukup bagi perbelanjaan untuk berangkat ke Mekah, dan pulang ke rumah, kemampuan kewangan dalam memberi nafkah kepada ahli keluarga yang ditinggalkan, serta melunaskan hutang piutang sebelum pergi berangkat melaksanakan haji.

Konsep istito’ah ini adalah penting untuk difahami setiap muslim. Jika keupayaan kewangan tidak mencukupi untuk menampung kos haji, maka gugurlah kewajipan menunaikan haji.

Bagaimanapun, tekad usaha untuk menjadi mampu menunaikan haji sepatutnya ditanamkan dalam fikiran dan sanubari hati setiap muslim.

Dalam konteks Bantuan Kewangan Haji yang saban tahun diberikan oleh TH, mandat TH adalah untuk menjalankan operasi haji dan juga pengurusan dana ataupun pelaburan. Dalam mandat tersebut, tidak termaktub pemberian Bantuan Kewangan Haji kepada bakal jemaah haji bagi mencukupkan keperluan mereka menunaikan ibadat tersebut.

Secara umumnya, Bantuan Kewangan Haji sebenarnya adalah inisiatif yang diperkenalkan oleh TH dan kerajaan berdasarkan budi bicara dan ia bukan hak yang diberikan kepada para jemaah. Konsep asalnya adalah tanggungjawab untuk mencukupkan bayaran haji adalah bergantung kepada kemampuan individu itu sendiri.

LEGASI KEJAYAAN

Kejayaan penubuhan TH sejak 60 tahun yang lalu sebagai institusi kewangan Islam pertama di Malaysia, telah memainkan peranan besar dalam mentransformasikan sistem ekonomi umat Islam dengan menyediakan instrumen kewangan, penyertaan umat Islam kepada ekonomi sebenar dan pelaburan yang berlandaskan syariat. Kejayaan ini telah menjadikan TH sebagai model kepada negara-negara Islam yang lain.

Oleh yang demikian, imej TH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang terunggul perlu dipelihara oleh masyarakat Islam di Malaysia, dan menaikkan imej negara di persada dunia.

Rentetan daripada itu, keruntuhan TH sebagai institusi kewangan Islam boleh dianggap sebagai kegagalan yang mewakili sebahagian besar umat Islam di Malaysia.

Kita boleh mengambil iktibar sebuah institusi kewangan Islam di Turkiye iaitu Ihlas Finance House, di mana ia terpaksa ditutup pada tahun 2001 kerana masalah kecairan dan kemelut kewangan.

Dengan saiz dana TH yang besar hampir mencecah RM90 bilion, umat Islam di Malaysia perlu mengambil iktibar akan kes kegagalan institusi perbankan Islam di Turkiye tersebut.

Dalam konteks TH, maslahah yang paling utama ialah memelihara kelestarian TH itu sendiri. Pada ketika ini, TH menanggung lebih 60 peratus daripada jumlah kos sebenar setiap jemaah untuk menunaikan haji, di mana ia boleh menjejaskan kemampuan kewangan TH pada masa hadapan.

Seterusnya, tanggungan bayaran kos sebenar tersebut dilihat boleh menjejaskan keupayaan TH untuk membayar agihan keuntungan yang lebih kompetetif kepada para pendeposit.

Oleh demikian, tiga perkara menjadi perlu menjadi petimbangan pihak kerajaan dan pengurusan TH dari sudut maslahah dan maqasid penjagaan harta. Yang pertama ialah kelestarian TH itu sendiri sebagai sebuah entiti yang menguruskan sejumlah dana besar, yang kedua maslahah umum keseluruhan pendeposit berbanding sebilangan kecil bakal jemaah haji yang akan menunaikan haji pada tahun tertentu dan yang ketiga aspek istito’ah yang menjadi syarat wajib haji itu sendiri.

Kestabilan TH sebagai institusi kewangan Islam yang terunggul perlu dipelihara sebaiknya, dan ia penting demi menjaga imej serta kepentingan umat Islam di negara ini.

* Imran Mohammad Khayat ialah Pengurus Besar Bahagian Syariah TH