Danial Akmal ditemui, ibu dakwa anak lari asrama kerana dibuli
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kehilangan pelajar sebuah sekolah berasrama penuh, Muhammad Danial Akmal Zulkhairi, 14, membongkar kisah di sebalik kejadian itu apabila dia mendakwa menjadi mangsa buli.
Ibu mangsa, Shuhada Jamaludin, 38, berkata, anaknya telah ditemui orang awam di pondok menunggu bas di hadapan Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak, dekat sini mengakui telah dibuli dengan teruk.
Katanya, akibat kejadian buli itu, Muhammad Danial yang mesra disapa sebagai Enel bertindak nekad untuk melarikan diri dari sekolah jam 3 pagi pada Khamis.
"Perkara ini telah didedahkan oleh anak saya kenapa dia begitu tekad untuk melarikan diri dari sekolah pada awal pagi itu.
"Enel sudah tidak tahan dan tidak mampu untuk menghadapi perbuatan buli yang sangat teruk dilakukan kepadanya.
"Ini bukan kali pertama Enel dibuli.
"Sebelum ini dia pernah juga dibuli, namun saya dinasihatkan untuk menyelesaikan perkara itu dengan baik dan tidak mendakwa si pelaku," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Ekoran kejadian buli yang didakwa berlaku kali ini terhadap Muhammad Danial Akmal, Shuhada berkata, tindakan perundangan akan diambil oleh pihaknya berhubung kejadian itu.
Tegasnya, tindakan sedemikian perlu dilakukan bagi memperjungkan nasib anaknya kerana dibuli dengan sangat teruk.
"Ini kali kedua kejadian buli yang sangat teruk berlaku kepada Enel.
"Saya tidak boleh berdiam diri lagi.
"Saya akan 'fight' perkara ini dan mengambil tindakan tegas supaya keadilan dapat ditegakkan," ujarnya.
Sementara itu ditanya mengenai penemuan Muhammad Danial Akmal, Shuhada berkata, anaknya itu ditemukan dalam keadaan sangat lemah kerana tidak makan.
Menurutnya, Muhammad Danial Akmal hanya makan sekali sahaja pada hari pertama sejak melarikan diri dari sekolah, sekadar menjamah roti dan minum air yang diberikan oleh seorang individu.
Katanya lagi, Muhammad Danial Akmal melarikan diri dari asrama sekolah sehelai sepinggang dan tidak membawa dompetnya bersama.
"Ketika bertemu dengan Enel pada malam tadi (Jumaat), dia kelihatan sangat tidak terurus dan seolah-olah macam orang gelandangan.
"Saya tidak pernah melihat Enel sebegitu rupa, namun saya sekeluarga amat bersyukur kerana Enel telah ditemui dalam keadaan selamat," ujarnya.
Mangsa diberi rawatan
Sementara itu, penemuan Muhammad Danial Akmal pada Jumaat disahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada Khamis jam 1.21 petang.
Beliau berkata, pelajar Tingkatan Dua sekolah berasrama itu dilaporkan hilang dari kawasan sekolah Jalan Yaacob Latif, Cheras.
Sehubungan itu kata beliau, satu tindakan hebahan melalui media sosial telah dibuat oleh pihak polis.
"Bertindak atas maklumat orang awam, pada Jumaat, jam lebih kurang 11 malam, ibu bapa mangsa bersama guru sekolah telah pergi ke Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak, Cheras dan menjumpai mangsa dalam keadaan lemah.
"Mangsa telah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Zam Halim berkata, siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengetahui sebab mangsa boleh berada di tempat tersebut.
Katanya, pihak polis turut berterima kasih kepada orang ramai yang membantu sehingga mangsa ditemui semula.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi hotline polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051, hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan," ujarnya.
@sinarharianonline Akibat kejadian buli itu, Muhammad Danial yang mesra disapa sebagai Enel bertindak nekad untuk melarikan diri dari sekolah jam 3 pagi pada Khamis. #SinarHarian#SinarTerkini#DanialAkmal#buli News, news, seriousness, tension(1077866) - Lyrebirds music