Jualan Agro Madani tawar potongan harga 30 peratus

Muhamaf Azreen (kiri) bersama kakitangannya menunjukkan bakul Kombo Madani yang setiap satu dijual pada harga RM10. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Muhamaf Azreen (kiri) bersama kakitangannya menunjukkan bakul Kombo Madani yang setiap satu dijual pada harga RM10. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai ke Program Jualan Agro Madani Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi menikmati potongan harga produk makanan sehingga 30 peratus sempena sambutan Setahun Bersama Kerajaan Madani.

Program jualan agro itu diadakan di pekarangan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil, di sini, bermula Jumaat sehingga Ahad ini.

Ia digerakkan tiga agensi di bawah KPKM membabitkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Azrin Shah menunjukkan produk jenama QFish dan ENNA yang dijual di reruai LKIM. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Azrin Shah menunjukkan produk jenama QFish dan ENNA yang dijual di reruai LKIM. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Kontrak Pemasaran Fama, Muhamad Azreen Abdul Jalil berkata, tarikan utama di reruai Fama adalah jualan bakul Kombo Madani yang hanya berharga RM10.

"Pek kombo ini mengandungi pelbagai produk makanan iaitu 10 biji telur gred A, tiga paket sayur terpilih serta tepung gandum dan kerisik jenama Agro Mas yang memberikan penjimatan sebanyak RM5 berbanding harga asal.

"Kita turut bawakan beras putih tempatan yang dijual pada harga kawalan iaitu RM26 untuk kampit 10 kilogram (kg)," katanya ketika ditemui Sinar Harian di reruai Fama.

Artikel Berkaitan:

Azrin Shah dan kakitangan LKIM bersama pelbagai produk sejuk beku dan produk keluaran nelayan yang dijual di reruai LKIM pada Jumaat. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Azrin Shah dan kakitangan LKIM bersama pelbagai produk sejuk beku dan produk keluaran nelayan yang dijual di reruai LKIM pada Jumaat. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib

Menurutnya, Jualan Agro Madani merupakan salah satu komponen di bawah kluster Jualan Mega Madani bagi program Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani yang julung kali diadakan di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Jadi pengunjung-pengunjung boleh dapatkan pelbagai produk makanan dan barangan keperluan asas pada harga berpatutan atau murah daripada biasa," ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Azrin Shah Ismail memberitahu, reruai LKIM menawarkan keseluruhan 15 produk sejuk beku daripada nelayan menerusi dua jenama mereka iaitu QFish dan ENNA.

"Apa yang istimewanya kita buat jualan kombo serendah RM5 hingga RM15 setiap set. Bagi jenama ENNA, produknya terdiri daripada nuget dan burger ikan serta nuget ayam.

"Kita juga jual ikan segar beku seperti kembung, selar dan cencaru pada harga istimewa," jelasnya.

Azrin Shah menambah, bagi jualan ikan segar beku berkenaan, pihaknya mengadakan beberapa sesi jualan 'happy hour' selama kira-kira setengah jam setiap hari dengan harga cuma RM10 untuk 2kg ikan.

Selain itu, ujar beliau, produk jenama Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) turut sama dijual di reruai itu seperti keropok dan ikan kering.

Azrin Shah berkata, jualan murah tersebut dibuat kerana pihaknya menyahut seruan kerajaan untuk menjual barangan keperluan rakyat dengan harga murah.

"Sempena sambutan Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani kita jual produk pada harga tak masuk akal untuk pengunjung yang datang.

"Lebih istimewa pada hari terakhir program sambutan setahun pemtadbiran kerajaan ini yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita akan berikan diskaun lebih 'gila-gila' kerana kita mahu habiskan semua produk supaya pada masa sama rakyat dapat penjimatan berganda," katanya lagi.

Ayam super dijual hanya pada harga RM15 seekor di reruai jualan LPP. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Ayam super dijual hanya pada harga RM15 seekor di reruai jualan LPP. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib

Dalam pada itu, Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan Putrajaya, Azan Ismail memberitahu, reruai LPP pula melelong ayam super dengan harga hanya RM15 seekor.

"Purata berat ayam yang dijual ini antara 2kg ke 2.5kg seekor dan biasanya kita jual pada harga RM9 1kg.

"Jadi pembeli dapat berjimat antara RM7 ke RM8 untuk setiap ekor ayam yang dibeli iaitu lebih kurang separuh harga," kongsinya.

Ujarnya, LPP juga menjual dua paket sayur-sayuran pelbagai jenis seperti kacang panjang, cili merah, lobak merah dan limau dengan harga hanya RM5 berbanding harga biasa RM10.

"Pada masa sama kita turut tampilkan produk sambal jenama Eishal's keluaran usahawan LPP yang juga pelakon, Eja.

"Eja juga turut hadir ke reruai kita pada hari ini untuk mempromosikan produknya seterusnya menjadi tarikan kepada pengunjung untuk datang ke sini," katanya.

Program Jualan Agro Madani itu pada hari kedua (Sabtu) akan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 10 malam manakala pada Ahad dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

REAKSI

"Rambang mata saya lihat banyak produk dijual pada harga sangat murah pada Jualan Agro Madani ini dan ia bantu kurangkan beban belanja dapur rakyat. Saya turut rebut peluang beli beras putih tempatan yang sekarang susah untuk diperoleh di kedai." - Anggota tentera, Koperal Nasarudin Mustafa, 30.

Nasarudin
Nasarudin

"Syukur alhamdulillah saya dapat jimatkan duit poket dengan berbelanja barang dapur di program ini. Semua barang dijual dengan harga murah terutama sayur-sayuran dan ikan." - Tukang cuci, Mariatun Marhapi, 45.

Mariatun
Mariatun

"Terkejut saya lihat banyak agensi KPKM buat jualan kombo yang harganya serendah RM5. Jadi dapatlah saya beli stok barang dapur untuk tempoh beberapa bulan." - Suri rumah, Linda Samin, 43.

Linda
Linda