Lebih 35,000 telah kemuka permohonan Flysiswa - Anthony Loke

Fadillah (tengah), Anthony Loke dan Nanta Linggi bergambar pada Majlis Peluncuran FLYsiswa di Universiti Malaya (UM) hari ini. - Foto: Bernama
Fadillah (tengah), Anthony Loke dan Nanta Linggi bergambar pada Majlis Peluncuran FLYsiswa di Universiti Malaya (UM) hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 35,994 orang atau 72 peratus daripada 50,096 pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang layak telah mengemukakan permohonan bagi mendapatkan bantuan subsidi FLYsiswa, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, masih terdapat kira-kira 14,000 pelajar yang layak untuk memohon baucar digital bernilai RM300 itu masih belum membuat permohonan, dan beliau berharap mereka segera berbuat demikian sebelum tempoh permohonan ditutup pada 31 Disember ini.

"Daripada jumlah ini, IPT paling ramai pelajar mendapat manfaat adalah daripada Universiti Teknologi MARA dengan 7,791 pelajar diikuti Universiti Malaysia Sabah (6,280), Universiti Malaysia Sarawak (4,975), Universiti Pendidikan Sultan Idris (4,780) dan Universiti Malaya (2,267)," katanya.

Anthony Loke ketika berucap pada Majlis Peluncuran FLYsiswa di Universiti Malaya (UM) hari ini. - Foto: Bernama
Anthony Loke ketika berucap pada Majlis Peluncuran FLYsiswa di Universiti Malaya (UM) hari ini. - Foto: Bernama

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran FLYsiswa di Auditorium HEP, Universiti Malaya hari ini yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.Turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Inisiatif FLYsiswa dilaksanakan mulai 15 Ogos lepas menerusi kaedah pemberian credit shell membabitkan pengeluaran baucar digital bernilai RM300 oleh syarikat penerbangan kepada setiap pelajar yang layak, untuk ditebus bagi pembelian tiket untuk laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan itu akan diteruskan pada tahun hadapan dan akan memanfaatkan kira-kira 60,000 pelajar termasuk pelajar baharu IPTA.

Anthony Loke menyarankan supaya pelajar merancang perjalanan dengan baik agar FLYsiswa yang telah diperluaskan kepada pelajar Politeknik, Institut Pendidikan Guru dan Matrikulasi itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

"Kita bagi fleksibiliti jadi RM300 itu tak semestinya beli satu tiket sahaja. Katakan tiket itu hanya RM150 dia ada baki dan dia boleh gunakan untuk tiket seterusnya, jadi itu yang telah dilaksanakan dan mekanismenya amat mudah," jelasnya.

Beliau berkata, kementeriannya juga sedang meneliti untuk meningkatkan amaun inisiatif itu selain memperluaskan bantuan berkenaan kepada pelajar di IPT Swasta namun ia bergantung kepada kedudukan semasa kewangan kerajaan mengambil kira jumlah pelajar yang bakal ditampung.

Menurutnya, FLYsiswa adalah antara langkah kerajaan bagi meringankan kos perjalanan ditanggung pelajar selain sedang melaksanakan pelbagai langkah untuk menangani isu harga tambang penerbangan termasuk menambah kapasiti penerbangan pasca Covid-19. - Bernama