Sudah tiba masa mahasiswa urus kewangan sendiri - AMK

Gambar hiasan - Foto Bernama. Gambar kecil: Aliff Naif
Gambar hiasan - Foto Bernama. Gambar kecil: Aliff Naif
A
A
A

ALOR SETAR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyambut baik pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) yang akan membuka lembaran baharu kepada mahasiswa berhubung urusan kewangan.

Ketua Biro Mahasiswa AMK Malaysia, Aliff Naif Mohd Fizam berkata, sudah tiba masanya mahasiswa diberikan kemandirian untuk menjaga hal ehwal kewangan mereka sendiri.

Menurutnya, peruntukan (pindaan) tersebut akan membolehkan mahasiswa menubuhkan dan menguruskan kumpulan wang dan ia membawa suatu reformasi dalam pergerakan mahasiswa.

“Kebebasan ini beri erti dan tanggungjawab lebih besar, seiring dengan aspirasi untuk meletakkan lebih kepercayaan kepada mahasiswa untuk menguruskan dan membuat keputusan dalam organisasi.

“Sudah tentu mahasiswa harus bersedia dari aspek teknikal untuk mengawal selia pengurusan kewangan mereka, selain bersedia untuk diaudit dan diambil tindakan sekiranya berlaku salah laku atau penyelewengan,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Khamis.

Pada 27 November lalu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membentangkan Rang Undang-Undang Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2023 bagi bacaan kali pertama di Sidang Dewan Rakyat.

Rang undang-undang itu memperuntukkan pindaan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) antaranya untuk membenarkan pungutan wang dan penerimaan wang serta sumbangan lain oleh Majlis Perwakilan Pelajar dan badan pelajar universiti.

Aliff Naif berkata, pindaan yang akan memencarkan (decentralize) kuasa bagi tindakan tatatertib daripada Naib Canselor kepada sebuah Jawatankuasa Tindakan Tatatertib merupakan langkah progresif yang tidak memusatkan kuasa kepada individu semata-mata.

Artikel Berkaitan:

“Memandangkan jawatankuasa berkenaan hanya menetapkan dan tidak mengehadkan keahlian kepada sekurang-kurangnya tiga individu, iaitu Timbalan Naib Canselor dan pekerja universiti yang dilantik, kami cadangkan diberikan ruang kepada wakil mahasiswa agar wujud keseimbangan representasi dalam jawatankuasa tersebut,” ujarnya.

Menurutnya lagi, biro berkenaan turut melahirkan kebimbangan berkaitan pindaan yang memasukkan Subseksyen 4A selepas Subseksyen 4 dalam Seksyen 48 dalam Jadual Pertama, yang memberikan kuasa kepada pihak lembaga untuk mengurangkan atau melanjutkan tempoh keahlian Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

“Kami menuntut agar jaminan diberikan oleh kerajaan atau universiti bahawa peruntukan ini tidak akan disalahgunakan untuk menekan atau ugut pimpinan mahasiswa yang bersikap vokal terhadap pentadbiran universiti mahupun kerajaan,” jelasnya.

Aliff Naif berkata, autonomi dan kebebasan bersuara mahasiswa perlu dipelihara dengan baik selepas dilakukan pindaan.

“Pimpinan mahasiswa di universiti juga harus bersedia menubuhkan jabatan atau biro untuk menguruskan hal ehwal perundangan golongan itu.

"Ia seharusnya menjadi opsyen dalam menuju kemandirian susulan perubahan yang berlaku menerusi pindaan tersebut,” katanya.

Jelasnya lagi, MPP, kesatuan mahasiswa, sayap mahasiswa parti politik, barisan hadapan politik kampus serta gerakan mahasiswa di semua universiti disaran untuk mengadakan wacana atau dialog awam berkaitan pindaan tersebut.

“Jadikan ia medan untuk bincang secara kritikal mengenai peruntukan tersebut, impaknya kepada mahasiswa serta apa langkah seterusnya setelah pindaan ini diluluskan,” ujarnya.