Doa makbul, Siti Mariah ditemui selepas 8 tahun menghilang

A
A
A

PADANG TERAP - Sepasang suami isteri di Kampung Sireh, Naka, dekat sini yang tidak henti berdoa agar anak sulung mereka yang gagal dihubungi dan dikesan sejak lapan tahun lalu dapat ditemui semula akhirnya menerima berita gembira pada malam Rabu.

Hamzah Said, 65, dan isterinya, Che Safuan Abd Rahman, 61, menerima berita gembira penemuan Siti Mariah Hamzah, 39, daripada Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar yang hadir memaklumkan perkara tersebut.

Siti Mariah ditemui dalam keadaan sihat dan selamat di Labu, Negeri Sembilan.

Hamzah mengakui terharu dan gembira kerana dapat bercakap dengan anak kesayangan mereka melalui panggilan video.

“Kami rasa syukur, terharu dan hiba selepas dapat bercakap dengan Siti Mariah melalui panggilan video malam tadi. Dia dijangka pulang ke sini pada Sabtu.

“Kami juga mahu mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terutama Ketua Polis Daerah Padang Terap dan Ketua Balai Polis Labu, Negeri Sembilan serta pihak media yang membantu mencari anak sulung kami ini,” katanya ketika dihubungi media pada Khamis.

Sementara itu, Mulkiaman berkata, selepas dapat mengesan dan berhubung dengan Siti Mariah pada Rabu, beliau ke rumah keluarga Siti Mariah di Kampung Sireh, di sini pada pagi Khamis untuk memaklumkan khabar gembira tersebut.

Pada 20 November lalu, Sinar Harian melaporkan pasangan suami isteri di Kampung Sireh, Naka, dekat sini buntu dengan misteri kehilangan anak mereka yang gagal dihubungi dan dikesan sejak lapan tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, kali terakhir Siti Mariah Hamzah, 39, berhubung dengan ibunya, Che Safuan Abd Rahman, 61, sebelum Januari 2016 dan memaklumkan membeli baju di Nilai, Negeri Sembilan untuk dipakai pada majlis perkahwinan rakannya.

Bapanya, Hamzah Said, 65, berkata, sejak panggilan itu, anak sulung daripada empat adik-beradik itu gagal dihubungi sehingga ke hari ini.

@sinarharianonline Doa makbul, Siti Mariah ditemui selepas 8 tahun menghilang #SinarHarian#fyp#situmariah#hilang You Are Everything (Cover) - Pieeto musik

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!