Tak mampu bayar sewa punca lima beranak tinggal dalam kereta

A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah keluarga berumah dalam kereta berhampiran Tol Puchong selepas dihalau dari rumah sewa susulan tidak mampu membayar tunggakan.

Kepayahan hidup keluarga tersebut tular di media sosial Facebook Komuniti Taman Medan dan Taman Dato Harun.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang mengambil maklum berkenaan perkara itu telah menjejaki keluarga berkenaan bagi menyalurkan bantuan mengikut keperluan.

LZS memaklumkan, keluarga berkenaan sebelum ini menyewa di Subang namun membawa anak kecil mereka tidur dalam kereta susulan tidak mampu menyewa rumah baharu kerana tiada pendapatan.

"Beliau ditimpa sakit jantung manakala isteri pula diuji dengan sakit Tuberkulosis (TB), duit simpanan penama habis digunakan untuk perubatan di Hospital Serdang.

"Buat masa ini, beliau tiada sumber pendapatan kerana tidak mampu untuk menjalankan perniagaan yang telah diusahakan semenjak dahulu," menurut perkongsian di Facebook LZS.

LZS memaklumkan, keluarga berkenaan banyak mengharapkan sumbangan dan ihsan orang ramai bagi meneruskan kehidupan.

"Kami juga cuba mendapatkan rumah sewa untuk beliau dan Alhamdullilah ada seorang hamba ALLAH yang sangat baik hati, sudi menyewakan rumah kepada penama.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH kami akan bantu beliau dari segi deposit sewa rumah dan sewa rumah bulanan kerana beliau layak didaftarkan sebagai asnaf.

"Alhamdulillah, hasil maklumat daripada komuniti dan pengeluar zakat, kita berjaya membantu memberi tempat teduh kepada keluarga ini," ujar kenyataan itu.