[VIDEO] Hukuman lelaki langgar Syed Danial hingga mati, Khamis ini

A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan pada Khamis untuk hukuman sabitan bekas pekerja teknologi maklumat (IT) yang menyebabkan kematian pengurus bank, Syed Muhammad Danial Syed Syakir, di Lebuhraya Utara Selatan, empat tahun lalu.

Hakim, Julia Ibrahim menangguhkan keputusan itu selepas peguam, Wee Chong Keong yang mewakili Yew Wei Liang, 45, memaklumkan pihak pembelaan memerlukan masa untuk bersedia dengan hujahan rayuan, bagi mengurangkan hukuman terhadap anak guamnya.

"Harap keluarga mangsa (yang berada di galeri awam) memahami bahawa pihak pendakwaan dan pembelaan perlu diberikan masa sebelum mahkamah menjatuhi hukuman,” katanya.

Sebelum ini, pada 22 Ogos 2019, Wei Ling yang bekerja dalam bidang IT, didakwa membunuh Syed Muhammad Danial yang juga pengurus bank, di Kilometer 293.6, Lebuhraya Utara Selatan pada jam 1 tengah hari hingga 2 petang, pada 10 Ogos tahun sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Paparan skrin video yang tular di media sosial berhubung kemalangan membabitkan Syed Danial pada 2019.
Paparan skrin video yang tular di media sosial berhubung kemalangan membabitkan Syed Danial pada 2019.

Bagaimanapun, ketika membaca keputusan berkenaan, hakim meminda pertuduhan itu kepada 304 (a) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.

Pada 20 Julai lalu, mahkamah memerintahkan tertuduh membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap lelaki itu.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin sementara pembelaan diwakili peguam, Wee Chong Keong.