Aideaz Integrated menang anugerah BBEA 2023

A
A
A

SYARIKAT bumiputera, Aideaz Integrated Sdn Bhd (Aideaz Integrated) dinobatkan sebagai pemenang anugerah Kecemerlangan Perniagaan Bumiputera (BBEA) 2023 di dalam kategori ‘Promising Brand in Advertising’.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick kepada Pengarah Aideaz Integrated, Mohd Saufi Mokhtar pada majlis gala yang dianjurkan oleh Estilo Media dengan kerjasama Bernama bertempat di sebuah hotel di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Mohd Saufi, kejayaan yang dicapai bukanlah milik beliau seorang tetapi hasil kerja keras semua kakitangan yang bertungkus-lumus memastikan syarikat berjaya mencapai segala sasaran yang diinginkan.

“Kejayaan ini akan menjadi pembuka lembaran kecemerlangan Aideaz Integrated untuk mencapai banyak kejayaan pada masa akan datang terutamanya dalam sektor pengiklanan.

“Kami tidak mahu selesa dan berpuas hati di tahap ini sahaja, malah akan terus berusaha dengan lebih gigih,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Saufi berkata, Aideaz Integrated menghargai semua pihak yang telah banyak menyumbang secara langsung mahupun tidak langsung ke arah kejayaan syarikat sehingga ke hari ini.

“Alhamdulillah, kami bersyukur kerana sentiasa diberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada semua pihak termasuklah para pemegang taruh, rakan niaga, pelanggan, pembekal dan juga vendor.

“Hasil sokongan mereka adalah pencetus yang memacu Aideaz Integrated untuk mengapai kejayaan demi kejayaan. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan,” ujar Mohd Saufi.

Artikel Berkaitan:

BBEA 2023 merupakan sebuah platform yang yang bertujuan memperkasakan kemajuan serta memberi penghargaan kepada syarikat bumiputera, perusahaan, usahawan dan personaliti di Malaysia atas pencapaian dan sumbangan mereka kepada industri.

Bertemakan ‘Menjuarai Kecemerlangan, Meraikan Kebersamaan’, anugerah itu turut menghimpunkan penggerak komuniti bumiputera serta mengiktiraf jenama yang berusaha untuk memberi impak dalam industri perniagaan masing-masing.