Bukan ambulans KKM tapi swasta

Penggunaan ambulans di majlis perkahwinan tular di laman sosial.
Penggunaan ambulans di majlis perkahwinan tular di laman sosial.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan penggunaan ambulans sebagai gimik dalam majlis perkahwinan yang tular di laman sosial baru-baru ini adalah disewa daripada pihak swasta.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam majlis tersebut, dua ambulans digunakan untuk membawa pengantin lelaki dan perempuan itu berlangsung di Kuantan, Pahang.

"Pihak KKM mendapati bahawa kedua-dua ambulans yang digunakan adalah ambulans swasta dan majlis tersebut adalah majlis peribadi, bukan majlis rasmi KKM.

"Pihak pengantin telah menyewa ambulans terbabit. Pengantin lelaki adalah seorang PPP (Penolong Pegawai Perubatan) yang baru selesai program penempatan wajib dan dalam 'gimik' tersebut pengantin tiba dalam ambulans yang disewa.

"Pengantin lelaki bertindak sebagai PPP yang membawa pengantin perempuan dari dalam ambulans dan kemudiannya menuju ke arah pentas persandingan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, PPP berhasrat untuk mengabadikan kenangan pada perkahwinan mereka dan berharap masyarakat terutama dalam media sosial tidak tersilap membuat anggapan.

"KKM berharap masyarakat terutamanya dalam media sosial tidak tersalah membuat anggapan kerana ambulans yang digunakan adalah bukan ambulans KKM dan disewa daripada pihak swasta.

"Majlis perkahwinan adalah majlis persendirian petugas PPP tersebut dan berlangsung dengan cuti yang diluluskan.

"Kami mengucapkan selamat pengantin baru kepada pasangan tersebut dan berharap pihak masyarakat dan media sosial mendapat gambaran yang jelas akan fakta sebenar tentang perkara ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, PPP berkenaan berhasrat untuk mengabdikan kenangan bagi perkahwinannya dengan menggunakan ambulans dan pakaian bertugas beliau.

"Hakikatnya, petugas-petugas ini bangga dalam tugas mereka dan menggunakan majlis perkahwinan untuk mempamerkan perasaan ini dalam majlis bersejarah mereka.

Sebelum ini, tular di laman sosial video berdurasi empat minit memaparkan dua ambulans membawa pasangan pengantin di sebuah dewan sebagai gimik pada majlis perkahwinan mereka hingga mendapat reaksi daripada netizen.

Ada netizen yang mengecam tindakan mereka kerana menyangkakan mereka menyalahgunakan ambulans KKM.