Merokok: Betulkan yang biasa

Terdapat kira-kira 4.8 juta perokok dan dianggarkan lebih 27,200 kematian rakyat Malaysia berkaitan rokok saban tahun. - Foto123RF
Terdapat kira-kira 4.8 juta perokok dan dianggarkan lebih 27,200 kematian rakyat Malaysia berkaitan rokok saban tahun. - Foto123RF
A
A
A

SEBELUM terma Generasi Penamat Rokok (GEG) digugur dan digantikan kepada Orang Belum Dewasa dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 pada minggu lalu, ramai yang naik angin.

Maklum sahajalah, GEG yang bertujuan melarang individu lahir selepas tahun 2007 melakukan aktiviti merokok tiba-tiba dimansuhkan, sekali gus menyaksikan tiada lagi larangan merokok kepada kumpulan tersebut.

Secara peribadi, penulis juga kurang bersetuju dengannya. Apatah lagi, rekod menunjukkan sebanyak 400 kematian dicatatkan setiap minggu di negara ini. Demikian kenyataan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Julai tahun lalu.

Fakta itu dikuatkan lagi apabila pengamal perubatan, Dr Arifin Fii dalam sebuah portal berita mendedahkan, terdapat kira-kira 4.8 juta perokok dan dianggarkan lebih 27,200 kematian rakyat Malaysia berkaitan rokok saban tahun.

Masalah itu tidak hanya berlaku di negara ini sahaja, tetapi melibatkan seluruh dunia. Buktinya, Dr Arifin berkata, lebih 7 juta daripada kematian di seluruh dunia adalah akibat penggunaan tembakau secara langsung, manakala kira-kira 1.2 juta pula terdiri daripada bukan perokok yang terdedah kepada asap berkenaan.

Walaupun Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) kali ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 secara jelas menyatakan merokok adalah haram dari perspektif Islam kerana terdapat kemudaratan, tetapi aktiviti tersebut sukar dinoktahkan.

Barangkali ia sudah menjadi kebiasaan dan tabiat yang sulit untuk dibuang begitu sahaja. Lebih-lebih lagi dalam kalangan perokok tegar dek kerana ketagihan nikotin terutama ketika peringkat awal percubaan untuk berhenti.

Menurut Public Health Malaysia, ada satu kajian mendedahkan, seorang perokok yang ingin berhenti pengambilan tembakau telah mencuba berbuat demikian dari tujuh ke 10 kali sebelum berjaya melakukan sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat pula menyatakan, antara lapan hingga 11 kali cubaan, manakala Majlis Kanser Australia memberi jangkaan dari 12 hingga 14 kali.

Berbalik kepada isu pengguguran terma GEG tadi, ia bukanlah bermakna ‘penamat’ kepada segala-galanya. Itu peraturan yang dibuat oleh manusia.

Sebenarnya, 'kuasa' yang lebih besar terletak pada tangan kita sendiri. Sedarlah bahawa merokok hanyalah pilihan kita, bukannya paksaan atau kewajipan.

Jika kita boleh sahaja memboikot produk Israel dan sekutunya, inikan pula pada rokok. Hendak 1,000 daya, tak hendak 1,000 dalih.

Paling penting, usaha kita untuk katakan tidak pada merokok dan menjauhkan diri daripada perkara yang melorongkan kita ke arahnya.

Namun, ia perlu dilakukan dengan ilmu, bukan secara semberono. Penulis kurang arif dalam hal itu, tetapi sebaiknya rujuklah kepada mereka yang pakar.

Penulis percaya, mereka pasti boleh merealisasikannya. Ini kerana menurut Pegawai Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Mohd Dziehan Mustapa, hasil kajian mendapati, 95 peratus perokok Muslim menyatakan, mereka mudah untuk berhenti merokok dalam bulan Ramadan!

Mungkin juga antara sebabnya kita berpuasa hampir 14 jam sehari dan perokok berjaya mengawal diri dan nafsu daripada mengambil nikotin.

Apa pun, lakukanlah ia bukan kerana diri atau orang lain, tetapi biarlah kerana ALLAH SWT. Ajaklah ahli keluarga kita agar mentaati suruhan Tuhan kerana ia melibatkan hukum-hakam agama.

Dalam al-Quran, ALLAH SWT berfirman: "Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil)." (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Begitu juga dengan peringatan Rasulullah SAW yang mana Baginda bersabda: "Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh berbuat kemudaratan." (Hadis Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)

Sudah terang lagi bersuluh, merokok lebih banyak mendatangkan mudarat kepada kesihatan diri dan orang lain. Malah, ia juga menjurus kepada pembaziran wang, masa dan tenaga.

Tepuk dada, tanya iman masing-masing. Betulkan mana yang biasa dan biasakan yang betul.

*Nurulfatiha Muah ialah Penolong Editor Sinar Islam Plus