Argentina belasah Young Tigers

Pemain Argentina, Toscani Joaquin mengawal bola daripada pemain Malaysia dalam perlawanan Kumpulan A Hoki Piala Dunia Remaja 2023 di Stadium Hoki Nasional pada Rabu. FOTO: BERNAMA
Pemain Argentina, Toscani Joaquin mengawal bola daripada pemain Malaysia dalam perlawanan Kumpulan A Hoki Piala Dunia Remaja 2023 di Stadium Hoki Nasional pada Rabu. FOTO: BERNAMA
A
A
A

MALAYSIA terpaksa akur dengan aura penyandang juara, Argentina apabila tewas 0-4 dalam aksi kedua Kumpulan A Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Muhamman Amin Rahim bakal menempuh laluan berliku dalam misi melayakkan diri ke peringkat suku akhir.

Pertemuan menentang Australia pada aksi terakhir Kumpulan A Jumaat ini boleh dianggap misi hidup mati buat Young Tigers untuk menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik.

Dalam aksi menentang Argentina, barisan pemain muda negara harus menyalahkan diri sendiri apabila gagal menterjemahkan sebarang jaringan sekalipun mempunyai beberapa peluang keemasan.

Malah, Young Tigers terlepas peluang terbaik bagi merobek gawang pasukan nombor satu dunia itu apabila gagal memanfaatkan kesemua empat pukulan sudut penalti yang diperoleh.

Sebaliknya, Argentina ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya menampilkan rentak permainan memukau sepanjang 60 minit perlawanan berlangsung.

Argentina memperoleh gol pembukaan menerusi Capurro Bautista pada minit ke-20 sebelum Aguirregomezcorta Marco menyumbat gol kedua berselang lapan minit kemudian.

Minadeo Inaki terus merentap semangat Young Tigers apabila meledak gol ketiga Argentina menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-40.

Artikel Berkaitan:

Fernandez Juan melengkapkan kemenangan bergaya Argentina di hadapan kira-kira 1,000 penyokong Malaysia dengan gol keempat hasil jaringan padang pada minit ke-48.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia berada di tangga ketiga Kumpulan A sekalipun berkongsi tiga mata dengan Australia yang menduduki tangga kedua,

Terdahulu, Australia yang tewas 0-1 kepada Argentina dalam aksi pembukaan pada Selasa, meraih tiga mata berharga selepas membenam Chile 7-1.

Keputusan 7-1 itu menyamai apa yang dicatatkan Malaysia ketika melakar kemenangan ke atas Chile dalam aksi sulung Kumpulan A pada Selasa.