Polis minta bantuan remaja lelaki, wanita China hilang

Juan (kiri) dilaporkan hilang pada pertengahan bulan lalu. Remaja lelaki (kanan) berusia 18 tahun dilaporkan hilang sejak Ogos lalu.
Juan (kiri) dilaporkan hilang pada pertengahan bulan lalu. Remaja lelaki (kanan) berusia 18 tahun dilaporkan hilang sejak Ogos lalu.
A
A
A

MELAKA - Polis minta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang remaja lelaki tempatan dan wanita warga China yang diklasifikasikan sebagai orang hilang.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, laporan kehilangan remaja terbabit, Muhammad D’niel On,18, dibuat ibunya di Balai Polis Tengkera pada 8 September lalu.

Christopher berkata, ibu mangsa mendakwa anaknya yang berambut pendek berwarna perang, kulit putih kemerahan dan kurus, hilang ketika mereka pergi membuat kad pengenalan baharu di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Jalan Hang Tuah.

Katanya, mangsa disedari hilang ketika menunggu giliran untuk proses cap jari kira-kira jam 4.30 petang pada 30 Ogos lalu.

"Pengadu cuba menghubungi telefon bimbit anaknya itu namun gagal selain turut menghubungi kawan-kawan anaknya.

"Sehingga sekarang anaknya masih belum pulang dan rakan juga tidak mengetahui di mana dia berada," katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Khamis.

Tambah beliau, polis turut menerima laporan daripada seorang lelaki mengenai kehilangan isterinya, warganegara China, Wang Juan, 32, pada 16 November lalu.

Ujar beliau, pengadu mendakwa melihat isterinya kali terakhir ketika keluar dari rumah mereka di Jalan Kota Laksamana di sini, 13 November.

Artikel Berkaitan:

"Wanita itu dipercayai keluar rumah kira-kira jam 11.40 pagi dengan memakai baju berzip lengan pendek berwarna putih dan seluar hitam," katanya lagi.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kedua-dua individu terbabit boleh menghubungi Sub Inspektor, Saleeudin Abdullah di talian 016-4127147 dan Balai Polis Tengkera di talian 06-2824704 untuk membantu siasatan.