Syarikat produksi Malaysia-Singapura terbit filem biopik P Ramlee

P RAMLEE
P RAMLEE
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kehebatan seniman agung, Tan Sri P Ramlee tidak perlu dipertikaikan lagi, malah hingga ke hari ini tidak ada yang mampu mengganti sosok istimewa ini.

Babak-babak lucu dalam filemnya terus menjadi bahan yang menghiburkan biarpun telah banyak kali menontonnya.

Begitu juga dengan lagu-lagu ciptaannya, ia tidak hanya memenuhi halwa telinga tetapi tetapi turut menyentuh hati.

Kerana sumbangan luar biasa P Ramlee dalam dunia filem dan muzik di Malaysia dan Singapura, sebuah syarikat penerbitan yang berpengkalan di Malaysia dan Singapura, Inkhouse Pictures Sdn Bhd (Malaysia) dan Inkhouse Media Pte Ltd (Singapura) akan menerbitkan sebuah biopik P Ramlee.

Pengarah Urusan Inkhouse, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, biopik bertajuk 'P Ramlee - Jeritan Batinku', akan meneroka aspek tersembunyi kehidupan P Ramlee, menyelami perjuangan peribadi dan kejayaannya.

"50 tahun selepas kematiannya, beliau kekal sebagai ikon yang dihormati kerana bakatnya yang besar dan impak abadi filemnya.

"Diangkat sebagai ikon budaya, P Ramlee merupakan penghibur berbakat yang menawan hati penonton dengan kehebatan lakonan, pengarahan, nyanyian, dan penulisan lagu.

Khairul Anwar Salleh
Khairul Anwar Salleh

Artikel Berkaitan:

"Komedinya yang tiada tandingan dan kebolehannya untuk berhubung dengan orang ramai meninggalkan kesan yang tidak dapat dihapuskan di kedua-dua pawagam dan muzik Malaysia dan Singapura

"P Ramlee - Jeritan Batinku akan mendedahkan lelaki di sebalik lagenda itu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelasnya, P Ramlee - Jeritan Batinku' merupakan naskhah yang ditulis dan diarahkan oleh Adlin Aman Ramlie.

"Filem ini akan menjejaki perjalanan luar biasa P Ramlee dari permulaannya yang sederhana hingga kebangkitan luar biasa sebagai khazanah negara.

"P Ramlee adalah seorang berwawasan sejati yang menentang sempadan dan mentakrifkan semula hiburan di Singapura dan Malaysia,” katanya

Mengulas lanjut mengenai filem biopik ini, Adlin Aman Ramlee pula menjelaskan, ia akan mendedahkan sisi lain kehidupan P Ramlee yang tidak diketahui ramai.

"Kami ingin mempersembahkan P Ramlee yang tidak pernah kita ketahui. Seorang yang berani, mencabar, dan sangat manusiawi.

"P Ramlee - Jeritan Batinku menjadi sebahagian dari misi Inkhouse untuk menghasilkan kandungan yang bukan sahaja akan memikat penonton tempatan, malah antarabangsa," kata Adlin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!