Lebih 70 jenama francais Malaysia berkembang di 80 negara

Rohaizi menandatangani plak ketika merasmikan Misi Francais Malaysia di Phnom Penh, Kemboja.
Rohaizi menandatangani plak ketika merasmikan Misi Francais Malaysia di Phnom Penh, Kemboja.
A
A
A

LEBIH 70 jenama francais Malaysia telah berkembang di pasaran global melibatkan 80 buah negara di seluruh dunia.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, pihaknya telah mengadakan Misi Francais Malaysia di Phnom Penh, Kemboja sebagai platform usahawan francais tempatan mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran strategik di rantau ASEAN.

Menurutnya, KPDN komited untuk membawa lebih banyak produk francais tempatan yang mempunyai keunikan tersendiri untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa.

“Kementerian optimis bahawa syarikat-syarikat yang menyertai Misi Perdagangan ke Phnom Penh, Kemboja akan mendapat hasil bagi pulangan pelaburan kepada negara.

“Ia adalah selaras dengan sasaran potensi pelaburan yang ditetapkan sebanyak RM29 juta bagi kesemua lima syarikat yang menyertai misi perdagangan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Program yang diadakan pada 3 hingga 6 Disember itu diketuai oleh Pengarah Kanan, Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan KPDN, Datuk Rohaizi Bahari sebagai ketua delegasi.

Rohaizi (lima dari kiri) ketika merasmikan Misi Francais Malaysia di Phnom Penh, Kemboja bersama delegasi KPDN.
Rohaizi (lima dari kiri) ketika merasmikan Misi Francais Malaysia di Phnom Penh, Kemboja bersama delegasi KPDN.

Turut hadir, Timbalan Ketua Misi Malaysia ke Kemboja, Nur Herzazzila Ghazali dan Setiausaha Agung Persatuan Francais Malaysia (MFA), Deric Yeo.

Artikel Berkaitan:

Selain wakil daripada KPDN, delegasi turut disertai wakil Persatuan Francais Malaysia (MFA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan lima syarikat francais terkemuka tempatan seperti Marrybrown, Q-Dees, HOME Math Therapy, Smart Reader Kids dan MyeongDong Topokk.

Jelas kenyataan itu, dalam rangka program tersebut, Rohaizi juga dijadualkan mengadakan kunjungan kehormat ke atas Menteri Perdagangan Kemboja dan juga Ketua Pengarah Jabatan Perdagangan, Kementerian Perdagangan Kemboja.

“Di antara perkara yang dibincangkan adalah berkaitan kerjasama dua hala di pelbagai bidang di kementerian masing-masing.

“Selain itu, delegasi Malaysia turut mengadakan beberapa program kerja seperti pertemuan dengan pihak syarikat Chip Mong Group dan lawatan ke cawangan jenama francais Malaysia yang telah menembusi pasaran Kemboja iaitu Tealive,” katanya.