Potensi pasaran global pelancongan muslim cecah AS$300 bilion menjelang 2026

Mohd Na'im Mokhtar berucap pada Majlis Perasmian Pameran Pelancongan Antarabangsa Umrah dan Haji ke-12 di Hotel Four Seasons Kuala Lumpur pada Isnin. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
Mohd Na'im Mokhtar berucap pada Majlis Perasmian Pameran Pelancongan Antarabangsa Umrah dan Haji ke-12 di Hotel Four Seasons Kuala Lumpur pada Isnin. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR- Malaysia perlu turut sama memanfaatkan potensi pasaran global bagi pelancongan muslim yang dianggarkan mampu mencecah AS$300 bilion menjelang 2026.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, industri pelancongan Muslim global kini dinilai pada anggaran AS$220 bilion dan mempunyai potensi yang besar untuk terus berkembang.

Menurutnya, penglibatan Malaysia khususnya pemain industri dalam sektor produk dan perkhidmatan berkaitan pelancongan mampu menjadi penyumbang untuk melonjakkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Kita boleh membuka banyak peluang perniagaan dan aliran hasil yang mampu menyumbang kepada KDNK kita serta ekonomi dunia.

“Penglibatan pasaran pelancongan Muslim mempunyai potensi besar untuk negara kita dan industri pelancongan,” katanya dalam Majlis Perasmian Pameran Pelancongan Antarabangsa Umrah dan Haji ke-12 di Hotel Four Seasons Kuala Lumpur pada Isnin.

Harun KC Ahmmu (tiga dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Mohd Na'im pada Majlis Perasmian Pameran Pelancongan Antarabangsa Umrah dan Haji ke-12 di Hotel Four Seasons Kuala Lumpur pada Isnin. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

Dalam pada itu, Mohd Na'im berkata, menerusi pameran tersebut mampu memupuk kerjasama hubungan baik antara pengusaha umrah dan haji tempatan serta Arab Saudi selain beberapa negara Timur Tengah bagi meningkatkan pelancongan global.

Ujarnya, ia merupakan platform yang baik untuk mempamerkan dan mempromosi produk serta perkhidmatan terbaru selari dengan Wawasan Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kementerian kita telah merangka lima rancangan berdasarkan falsafah dan semangat Hayya ‘Alal Falah (mari mencapai kejayaan) yang dilaungkan semasa azan.

“Elemen kelestarian dalam pentadbiran Islam memberi tumpuan kepada memperhalusi tadbir urus institusi bagi menyampaikan perkhidmatan dan prestasi cemerlang kepada pelanggan daripada semua lapisan masyarakat termasuk daripada industri umrah, haji dan pelancongan," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Harun Kc Ahmmu berkata, pameran berkenaan mampu meningkatkan pertumbuhan industri pelancongan antara Malaysia dan Arab Saudi termasuk beberapa negara di Timur Tengah.

Harun KC Ahmmu bercakap dalam sidang akhbar pada Majlis Perasmian Pameran Pelancongan Antarabangsa Umrah dan Haji ke-12 di Hotel Four Seasons Kuala Lumpur pada Isnin. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

Katanya, hampir 80 syarikat dari Timur Tengah dengan rekod prestasi cemerlang dan latar perniagaan yang baik telah mengambil bahagian bagi memacu industri pelancongan global.

"Acara ini bertujuan untuk menangani keperluan pasaran pelancongan muslim yang semakin berkembang didorong oleh kemajuan teknologi, perubahan keutamaan perjalanan dan demografi pengembara.

“Tahun lepas lebih daripada 300,000 umat Islam negara ini mengerjakan umrah dan kami menjangkakan peningkatan akan berlaku saban tahun berdasarkan kadar pertumbuhan penduduk,”ujarnya.