Pahang tambah baik aspek kebajikan jurulatih, atlet, infrastruktur sukan

Orang ramai berpeluang menggunakan kemudahan trek di Stadium Darul Makmur secara percuma pada Isnin hingga Khamis. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Fadzli)
Orang ramai berpeluang menggunakan kemudahan trek di Stadium Darul Makmur secara percuma pada Isnin hingga Khamis. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Fadzli)
A
A
A

KUANTAN - Majlis Sukan Pahang telah melaksanakan penilaian aspek penting melibatkan kebajikan jurulatih, atlet dan keperluan yang perlu ditambah baik bagi meningkatkan pencapaian sukan di negeri ini berdasarkan inisiatif Pelan Pembangunan Sukan Prestasi Tinggi Negeri Pahang 2030 (REVOS2030), Februari lalu.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, hasil daripada penilaian itu, kerajaan negeri bersetuju menaikkan gaji jurulatih sepenuh masa bermula RM2,000 sebulan berbanding gaji minima bermula RM 1,500 sebulan sebelum ini.

Menurutnya, penyelarasan gaji itu dilaksanakan Mac lalu bagi menaikkan moral dan semangat para jurulatih sukan untuk melatih atlet-atlet negeri ini.

"Selain itu, bagi memastikan atlet-atlet Pahang terus melakar kejayaan, kerajaan negeri juga telah bersetuju untuk menambah bayaran elaun latihan atlet.

"Setiap atlet yang layak ke Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 bakal menerima elaun minimum RM200 sebulan manakala atlet-atlet yang pernah memenangi pingat di Sukma sebelum ini bakal menerima elaun sehingga RM500 sebulan bermula Januari tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, V Arumugam pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang pada Selasa.

Dalam pada itu, Fadzli berkata, kerajaan negeri turut menyalurkan peruntukan bagi membaik pulih fasiliti sukan termasuk Stadium Darul Makmur selain memberi peluang kepada rakyat untuk turut menggunakan kemudahan trek di stadium itu secara percuma pada Isnin hingga Khamis

"Selain stadium, kerajaan negeri juga menyalurkan peruntukan untuk menaik taraf lapang sasar menembak di Kompleks Sukan Pahang (Sukpa), pembinaan baharu litar skateboard dan pusat latihan Muay Thai Pahang di Jerantut.

Artikel Berkaitan:

"Pada 19 September lalu, Tabung Pembangunan Sukan Majlis Sukan Pahang telah dilancarkan bagi memperkasakan kemajuan sukan prestasi tinggi di negeri ini dan penyumbang bakal diberikan pengecualian cukai pendapatan berdasarkan terma serta syarat yang ditetapkan," jelasnya.

Tambah beliau, penubuhan Tabung Sukan Pahang memberi fokus kepada enam objektif utama iaitu memperkasa program pembangunan sukan prestasi tinggi, kebajikan atlet dan jurulatih, merancakkan program pembangunan bakat sukan, mempertingkatkan kualiti fasiliti sukan, memperkukuh kepakaran dan profesionalisme sains sukan dan meningkatkan penajaan sektor swasta.