'Budak emas' Bellingham

Bellingham dinobatkan sebagai Golden Boy di Turin awal pagi Selasa. - Foto Agensi
Bellingham dinobatkan sebagai Golden Boy di Turin awal pagi Selasa. - Foto Agensi
A
A
A

TUAH Jude Bellingham dan Erling Haaland apabila melakar kejayaan manis setelah dinobatkan sebagai penerima anugerah pada gala Golden Boy di Turin, Itali awal pagi Selasa.

Bellingham, pemain tengah England dan Real Madrid dinamakan sebagai pemenang anugerah Golden Boy yang mengiktiraf pemain muda lelaki paling mengagumkan dalam tempoh setahun.

“Terima kasih kepada setiap orang yang ditemui sepanjang perjalanan untuk membantu saya mencapai tahap ini.

“Ia mengenai usaha untuk menjadikan pasukan dan negara saya skuad terbaik di dunia. Bagi menjadi pemain terbaik di dunia anda perlu membantu pasukan menang dan menyertai senarai itu satu penghormatan yang besar,” katanya.

Bellingham menyerlah sejak menyertai Madrid dari Borussia Dortmund dengan nilai perpindahan 115 juta pound (RM678 juta) pada musim panas lalu.

Pemain berusia 20 tahun itu sudah menyumbat 15 gol dalam semua pertandingan setakat ini dan memecahkan rekod Cristiano Ronaldo bagi gol terbanyak dijaringkan seorang pemain dalam 15 perlawanan pertama di kelab gergasi Sepanyol itu.

Dalam pada itu, Haaland yang merupakan peledak gol Manchester City mengatasi Lionel Messi untuk merangkul anugerah Golden Man susulan bisanya yang membantu kelab itu meraih pencapaian treble musim lalu.

Biarpun baru musim pertama di Etihad, Haaland menyinar dengan menyumbat 52 gol dalam 53 perlawanan buat pasukan kendalian Pep Guardiola termasuk menjaringkan gol terbanyak dalam satu kempen Liga Perdana Inggeris.

Artikel Berkaitan:

Pemain Norway itu tidak menghadiri majlis tersebut tetapi mencatat kegembiraannya menerusi laman sosial apabila menyifatkan pencapaiannya itu sebagai satu penghormatan.