Penunggang motosikal maut dilanggar kereta

Mangsa maut di tempat kejadian dalam kemalangan di Kilometer 6, Jalan Kluang-Niyor pada Rabu.
Mangsa maut di tempat kejadian dalam kemalangan di Kilometer 6, Jalan Kluang-Niyor pada Rabu.
A
A
A

KLUANG - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum dilanggar sebuah kereta di Kilometer 6, Jalan Kluang-Niyor dekat sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan pada jam 7.45 pagi itu melibatkan motosikal jenis Honda RS150 dan kereta Perodua Axia.

"Hasil siasatan awal mendapati kereta berkenaan datang dari arah Kluang menghala ke Sekolah Memandu Niyor, manakala motosikal mangsa dari arah bertentangan.

"Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa memotong kereta berkenaan sebelum hilang kawalan lalu terjatuh sebelum dilanggar," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, akibat perlanggaran itu, mangsa dikenali Mohamad Nazierul, 24, beralamat di Kluang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, pemandu kereta, Li Kim Hock, 57, dan beralamat di Kluang tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.