KPM perlu teruskan cadangan pengenalan jawi di sekolah

Alasan kebimbangan kesan buruk pengenalan tulisan jawi di sekolah disifatkan sebagai ‘tidak berasas’ dan sengaja diada-adakan. -Foto Bernama
Alasan kebimbangan kesan buruk pengenalan tulisan jawi di sekolah disifatkan sebagai ‘tidak berasas’ dan sengaja diada-adakan. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan berterusan 17 persatuan Cina termasuk Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) membantah penggunaan tulisan jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu di sekolah rendah pada sesi persekolahan tahun 2020 disifatkan sebagai cubaan mengaibkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, tuntutan dikemukakan persatuan-persatuan berkenaan termasuk melalui penganjuran Kongres Jawi Kebangsaan di Petaling Jaya semalam turut dianggap melampau dan berlandaskan sentimen perkauman.

Di sebalik pelbagai tekanan diterima, beliau menyarankan KPM meneruskan sahaja langkah memperkenalkan tulisan jawi di sekolah rendah dengan ketetapan pilihan mempelajarinya terletak di tangan ibu bapa dan pelajar terutama di sekolah vernakular.

“Saya tidak faham mengapa masih ada tuntutan daripada persatuan-persatuan berkenaan agar pengenalan tulisan jawi di sekolah rendah ditangguhkan serta dipertimbangkan untuk dibawa ke mahkamah.

“Saya kira kerajaan sudah memberi status elektif kepada pengenalan pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular dengan pilihan terletak di tangan ibu bapa dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).

“Tuntutan dikemukakan bersifat melampau dan perkauman. KPM harus sahaja meneruskan keputusan itu dengan ketetapan pilihan diberikan kepada ibu bapa dan pelajar sekolah,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kok Seong turut menyindir Dong Zong dan menyifatkan alasan kebimbangan pelajar Cina diislamkan melalui pengenalan tulisan jawi di sekolah digunakan persatuan itu sebagai ‘tidak berasas’ dan diada-adakan.

“Adakah iman kaum Cina begitu goyah sehingga pengenalan tulisan jawi bersifat asas boleh mengislamkan anak-anak Cina? Alasan sebegini saya anggap seolah-olah memperbodohkan diri mereka (Dong Zong) sendiri,” katanya.

Artikel Berkaitan: