Budak perempuan maut disyaki akibat didera

Gambar kecil: Zam Halim
Gambar kecil: Zam Halim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun meninggal dunia disyaki akibat didera di sebuah flat di Bandar Tun Razak, Cheras, di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, Pegawai Perubatan Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur dilaporkan telah menerima mangsa, kira-kira jam 3.40 petang.

"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada hari yang sama dan disyaki terdapat unsur penderaan serta pengabaian oleh penjaga," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Zam Halim berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa sedang tidur di dalam bilik, ketika bapanya keluar untuk membeli makanan, pada jam 11.30 pagi.

"Pada jam 2.30 petang, bapa mangsa telah menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas pulang ke rumah," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat.

"Setakat ini, belum ada tangkapan, kita sudah merakam percakapan bapa mangsa bagi membantu siasatan, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel Berkaitan: