Bekas CEO GLC didakwa sembunyi RM150,000 hasil aktiviti ubah wang haram

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyembunyikan wang RM150,000 hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram.

Mohd Zamry Sulaiman, 52, didakwa menyembunyikan wang hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram yang diterima daripada seorang lelaki di dalam bilik tidur utama kediamannya, di sebuah pangsapuri di Taman Dagang, Ampang dekat sini, pada 5.40 petang, 9 April lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 4(1)(d) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Anita Harun kemudian membenarkan Mohd Zamry diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain melarangnya mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes tersebut selesai serta menetapkan 13 Disember bagi pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin manakala tertuduh diwakili peguam Muniandy Vestanathan dan Ashok Athimulan.

Pada 24 Oktober lepas di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan, Mohd Zamry didakwa bersubahat dengan seorang lelaki atas pertuduhan secara rasuah menerima suapan wang RM350,000 daripada seorang lelaki sebagai upah membantu sebuah syarikat dilantik bagi melakukan kerja-kerja menaik taraf sistem mekanikal dan elektrikal di Kompleks Bangunan Getah Asli di Kuala Lumpur. - Bernama

Artikel Berkaitan: