Tiada masalah kurangkan gaji, elaun

Mahfuz
Mahfuz
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar sekali lagi menegaskan tiada halangan sekiranya kerajaan mahu memansuhkan atau mengurangkan gaji dan elaun menteri serta timbalan menteri.

Beliau berkata, masyarakat perlu tahu bahawa gaji dan elaun yang dinikmati semua menteri Kabinet termasuk Perdana Menteri adalah seperti diperuntukkan sejak dahulu lagi.

Menurutnya, gaji dan elaun itu dimasukkan secara terus ke dalam akaun mereka masing-masing.

"Maknanya kami sedar dan tahu siapa yang masukkan iaitu kerajaan yang memerintah.

"Bukan seperti Najib (bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak) yang tidak sedar siapa yang masukkan duit dalam akaun dia.

"Jika Kabinet mahu mengkaji semula gaji dan elaun menteri dan timbalan menteri, kami tiada masalah," katanya kepada Sinar Harian.

Mahfuz berkata, pemimpin Pakatan Harapan (PH) sama sekali tidak akan merompak atau mengamalkan rasuah.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kalau perlu potong, potonglah'

Dalam pada itu menurutnya, jika kerajaan mahu mengkaji semula gaji dan elaun maka ia perlu diperluaskan kepada semua menteri besar, ketua menteri serta exco di setiap negeri.

Artikel Berkaitan:

"Tidak kira negeri ditadbir kerajaan atau pembangkang, sekiranya ada elaun yang difikirkan tidak munasabah, tiada masalah untuk dimansuh atau dikurangkan," katanya.

Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam reaksinya bersetuju sekiranya elaun menteri Kabinet dipotong sebagai salah satu langkah penjimatan kewangan negara.

Selain itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut menyatakan komitmen sama.

Ia susulan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyatakan lebih baik elaun ahli politik dipotong berbanding elaun Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK).