PRK Kemaman: Amaran untuk BN nilai semula kerjasama dengan PH – Muhyiddin

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman adalah amaran berterusan daripada pengundi kepada Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO supaya menilai semula kerjasama mereka dengan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia ekoran rentetan trend penolakan pengundi BN terhadap kerjasama gabungan itu dengan PH seperti yang dapat diperhatikan dalam semua siri PRK sebelum ini.

Menurutnya semakin kuat ditekan, semakin kukuh sokongan rakyat.

“Pada masa yang sama, keputusan PRK Kemaman ini juga mengesahkan populariti kerajaan PH-BN yang semakin merudum. Rakyat, khususnya orang Melayu, menolak kerjasama antara kedua-kedua parti ini.

“Buktinya jelas. Undi yang diperolehi oleh calon BN dalam PRK ini jauh lebih rendah berbanding undi yang diperolehi semasa PRU15. Ini petanda bahawa penyokong BN sendiri telah beralih arah menyokong Pas.

"Keputusan PRK Kemaman adalah rentetan trend penolakan pengundi BN terhadap kerjasama parti itu dengan PH seperti yang dapat diperhatikan dalam semua PRK sebelum ini.

"Ini adalah suatu amaran berterusan daripada pengundi kepada BN, khususnya UMNO, supaya menilai semula kerjasama mereka dengan PH,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, kejayaan memperolehi majoriti 37,220 undi, iaitu peningkatan hampir 10,000 undi berbanding keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah petanda jelas sokongan rakyat yang semakin kuat kepada Pas khususnya dan Perikatan Nasional (PN) amnya.

Artikel Berkaitan:

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atas kemenangan besar beliau dalam PRK berkenaan dan berdoa semoga beliau dapat memberikan khidmat yang cemerlang kepada penduduk di Kemaman.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua jentera pilihan raya parti-parti komponen PN yang telah bekerja keras untuk mencapai kemenangan ini. Saya juga mengucapkan terima kepada semua pengundi di Kemaman yang telah mengundi calon Pas,” katanya.