Tiga suspek curi kabel diberkas selepas dikejar polis 35km

Kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki ketiga-tiga suspek berjaya dipintas di jambatan Sungai Kampung Pahang Tua. - Foto PDRM
Kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki ketiga-tiga suspek berjaya dipintas di jambatan Sungai Kampung Pahang Tua. - Foto PDRM
A
A
A

PEKAN - Tiga lelaki ditahan disyaki terlibat dengan kes kecurian kabel milik Telekom Malaysia (TM) di sini awal pagi Sabtu.

Penahanan mereka dibuat selepas dikejar anggota polis sejauh kira-kira 35 kilometer dari tepi jalan simpang masuk ke Perumahan Dara Felda Chini 2 hingga jambatan Sungai Kampung Pahang Tua di sini.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, sebuah unit kereta peronda polis (MPV) jenis Honda Civic juga telah dirempuh oleh kenderaan suspek iaitu pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dari arah belakang di jambatan terbabit.

Menurutnya, sebelum itu, semasa anggota dari Balai Polis Chini melakukan rondaan di tepi jalan simpang masuk ke Perumahan Dara Felda Chini 2, terserempak dengan ketiga-tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Kesemua suspek telah turun daripada Triton tersebut untuk mencuri kabel di kawasan berkenaan.

"Setelah menyedari kehadiran anggota polis, ketiga-tiga suspek bertindak masuk ke dalam Triton dan melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Antara barangan yang dirampas daripada kenderaan suspek. - Foto PDRM
Antara barangan yang dirampas daripada kenderaan suspek. - Foto PDRM

Ujar beliau, anggota terbabit bertindak mengejar suspek dengan menggunakan Hilux sambil memasang lampu beacon biru dan telah membunyikan siren.

Artikel Berkaitan:

"Setelah memasuki simpang tiga Jalan Kuantan-Segamat Kampung Tebat, menghala ke Kampung Pahang Tua, anggota terlibat telah berhubung dengan bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan untuk meminta bantuan.

"Sebuah unit MPV IPD Pekan Pahang 131 telah membuat cut-off di atas jambatan Kampung Pahang Tua dan telah dirempuh oleh kenderaan suspek dari arah belakang.

"Selepas itu, anggota dari Balai Polis Chini dan anggota MPV berjaya menahan ketiga-tiga suspek lelaki yang disyaki terlibat dengan kes kecurian kabel milik Telekom," katanya.

Mohd Zaidi berkata, kenderaan MPV terbabit telah mengalami kerosakan di bahagian belakang, namun kejadian itu tidak membabitkan sebarang kecederaan pada anggota terlibat.

Jelas Mohd Zaidi, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK)/353 KK.