Lelaki ditahan disyaki bunuh bapa

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PORT DICKSON - Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki membunuh bapanya dalam satu pergaduhan di rumah mereka pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada suspek lelaki berusia 26 tahun pada jam 12.45 tengah malam.

"Dia memaklumkan bapanya tidak sedarkan diri di hadapan rumah.

"Pembantu Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Bukit Pelandok telah ke lokasi dan mengesahkan kematian mangsa berusia 49 tahun pada jam 1.15 pagi," katanya dalam kenyataan pada media pada Sabtu.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati sebelum kejadian mangsa yang dalam keadaan mabuk telah bergaduh dengan suspek malah turut memukulnya.

Tambahnya, punca kejadian dipercayai suspek tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang mengeluarkan perkataan kesat dan membuat bising.

"Suspek kemudiannya telah ditahan pada Sabtu pada jam 1.20 pagi di hadapan rumahnya.

"Pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing adalah negatif," katanya.

Aidi berkata, suspek telah direman lima hari bermula pada Sabtu untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.