Kastam rampas lebih 5.4 juta batang rokok seludup

Lori yang ditinggalkan di tepi jalan Kampung Belimbing Tanah Merah mengandungi rokok seludup lebih 5 juta batang.
Lori yang ditinggalkan di tepi jalan Kampung Belimbing Tanah Merah mengandungi rokok seludup lebih 5 juta batang.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kelantan merampas 5,413,440 batang rokok seludup dianggarkan bernilai RM433,899 dalam dua serbuan berasingan di Tanah Merah dan Kota Bharu pada Selasa lalu dan semalam.

Pengarah Kastam Kelantan, Mohd Rakbi Mat Saud berkata, rampasan pertama dilakukan sepasukan anggota dan pegawai dari Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Kubor di tepi jalan Kampung Belimbing, Tanah Merah pada jam 8.15 pagi.

Menurutnya, dalam kejadian tersebut, sebuah lori jenis Hino bernombor plat tempatan bermuatan rokok larangan import itu yang ditutup kanvas ditinggalkan di tepi jalan raya tanpa pemandu kerana suspek dipercayai terlebih dahulu mengesan kehadiran pihak berkuasa.

“Hasil pemeriksaan menjumpai 490 kotak berisi 5,079,200 batang rokok berjenama berada dalam lori yang dilitupi kanvas tersebut.

“Rokok-rokok tersebut dipercayai dibawa masuk secara haram dari luar negara ke Malaysia melalui sempadan Sungai Golok dan digunakan untuk pasaran di luar negeri Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, rokok tersebut dianggarkan bernilai RM406,336 melibatkan cukai berjumlah RM2.7 juta dan merupakan antara rampasan terbesar dicatatkan pasukan penguatkuasaan Kastam Kelantan tahun ini.

Sementara itu dalam serbuan kedua, Mohd Rakbi berkata, pasukan serbuan membuat pemeriksaan di sebuah premis di Kota Bharu pada jam 9.15 malam semalam.

“Pemeriksaan lanjut menjumpai sebanyak 334,240 batang rokok pelbagai jenama dalam premis tersebut yang dianggarkan bernilai RM27,563 dan jumlah cukai terlibat sebanyak RM177,945.

Artikel Berkaitan:

“Seorang lelaki warga Thailand yang berada dalam premis tersebut ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang kes atau RM100,000, yang mana lebih tinggi dan maksimum 20 kali ganda nilai barang kes atau RM 500,000 yang mana lebih tinggi atau penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, orang awam diseru untuk memberi kerjasama kepada pihak Kastam khasnya di negeri Kelantan dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barangan seperti rokok, minuman keras, mercun dan lain-lain dengan menghubungi talian 09-7447009/ 09-7411175 (faks) serta Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.

“Pihak Kastam juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan demi kesejahteraan bersama,” katanya.