'Terpaksa mandi cucu dengan air sejuk, khemah dikelilingi sampah'

Gambar diambil dari udara pada Selasa menunjukkan sebuah kem pelarian sementara di bandar selatan Semenanjung Gaza, Khan Younis. - Foto Xinhua
Gambar diambil dari udara pada Selasa menunjukkan sebuah kem pelarian sementara di bandar selatan Semenanjung Gaza, Khan Younis. - Foto Xinhua
A
A
A

GAZA - UM Shadi al-Tarabish, seorang penduduk di Gaza kini berlindung di khemah pelarian sementara bersama 14 ahli keluarganya, termasuk cucunya yang berusia setahun, Misk.

Mereka tinggal di sebuah kawasan perkemahan pelarian di belakang Hospital Nasser di Khan Younis, selatan Gaza.

Suasana di kem pelarian itu sangat sangat buruk dengan keadaan bumbung khemah bocor sentiasa meresahkan mereka khususnya ketika hujan, lapor BBC.

“Setiap kali hujan, suami dan saya akan menggunakan penyapu untuk menolak khemah ke atas bagi mengalirkan air hujan yang bertakung di khemah.

"Kami bimbang khemah akan runtuh kerana tadahan air yang berat,” kata Um Shadi meluahkan kebimbangannya.

Khemah yang ditempatkan di kem pelarian itu dikelilingi timbunan sampah yang menyebabkan sampah sarap akan mudah basah setiap kali hujan sekali gus mengeluarkan bau yang kurang enak.

Setiap hari juga, Um Shadi dan pelarian lain terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan air dan tandas yang terletak jauh dari tempat tinggal mereka – dan kemudahan itu juga sebetulnya tidak layak digunakan oleh manusia.

Kanak-kanak Palestin dilihat di kem pelarian sementara di bandar selatan Genting Gaza Khan Younis pada Selasa. - Foto Xinhua
Kanak-kanak Palestin dilihat di kem pelarian sementara di bandar selatan Genting Gaza Khan Younis pada Selasa. - Foto Xinhua

Artikel Berkaitan:

Itu belum lagi cabaran untuk menjaga cucunya, Misk - juga amat sukar.

Ada masanya, Um Shadi al-Tarabish terpaksa memandikan cucunya dengan dengan air yang sangat sejuk.

Mereka juga menggunakan api kayu untuk memasak dan mendidihkan air minum.

Mereka sebenarnya mengharapkan tempat tinggal yang lebih layak, namun mereka diberitahu bahawa tempat perlindungan penuh sesak.

Mangsa perang ini benar-benar ingin pulang ke rumah sendiri, tetapi kini, mereka berasa seperti orang asing di tempat tinggal mereka sendiri!

Perang meragut segala hak dan keperluan asas rakyat Palestin. - Awani/Agensi