Tunku Azizah harap usaha Tengku Mahkota Pahang bangkitkan inspirasi

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika acara Climate Talks For A Green Future di Pavilion Turkiye di Dubai pada Jumaat. - Foto: Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika acara Climate Talks For A Green Future di Pavilion Turkiye di Dubai pada Jumaat. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berharap tindakan-tindakan Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam mengetengahkan isu perubahan iklim dapat memberi inspirasi kepada orang ramai.

Berkongsi pencapaian anakandanya itu, Seri Paduka bertitah, baginda memperoleh inspirasi daripada visi dan perjuangan Tengku Hassanal kerana ia mengingatkan semua pihak mengenai peranan yang boleh dimainkan oleh belia dalam menangani perubahan iklim.

"Tengku Hassanal mengingatkan saya bahawa generasi saya tidak mengambil tindakan secukupnya untuk memperjuangkan alam sekitar, dan malangnya banyak kesan negatif kepada iklim global adalah akibat generasi saya. Masih ada harapan untuk belia kita.

"Anakanda memaklumkan saya bahawa menjadi tanggungjawab generasi muda untuk menangani kesan negatif perubahan iklim, beliau bertuah sebab berada dalam kedudukan yang mempunyai pengaruh, beliau melihat ada tanggungjawabnya untuk cuba memimpin belia Pahang menangani perubahan iklim dan mencapai karbon sifar bersih (net zero) menjelang 2030,” katanya.