China 'umpan' ahli politik Taiwan menjelang pilihan raya

Tsai Ing-wen. - Foto: AFP
Tsai Ing-wen. - Foto: AFP
A
A
A

TAIPEI - China didakwa menaja ratusan ahli politik Taiwan dengan pakej pelancongan separuh harga menjelang pilihan raya utama di kepulauan itu, menurut sumber dan dokumen.

Presiden Tsai Ing-Wen dan pegawai Taiwan telah memberi amaran bahawa China berkemungkinan cuba mempengaruhi pengundi ke arah calon yang mempunyai hubungan rapat dengan Beijing dalam Pilihan Raya Presiden pada 13 Januari depan.

Beijing mendakwa Taiwan sebagai miliknya dan akan meningkatkan tekanan ketenteraan dan politik untuk memaksa pulau diperintah sendiri menerima kedaulatannya.

Undang-undang Taiwan melarang kempen pilihan raya daripada menerima wang daripada 'kuasa musuh luar' termasuk China dan pendakwa raya Taiwan berkata mereka sedang menyiasat 22 orang termasuk ahli politik kerana melanggar undang-undang pilihan raya dan keselamatan.

Seorang pegawai keselamatan Taiwan yang meneliti aktiviti China memberitahu Reuters bahawa seluruh agensi Taiwan sedang memantau lebih 400 lawatan ke China pada bulan lalu, yang kebanyakan diketuai pemimpin tempatan seperti ketua daerah dan ketua kampung.

Agensi itu percaya bahawa lawatan yang diberikan diskaun penginapan, pengangkutan dan makanan telah disubsidi oleh unit di bawah Pejabat Hal Ehwal Taiwan China.

Bagaimanapun, pejabat China enggan menjawab komen itu. Sebelum ini pihaknya berkata, mereka menghormati 'sistem sosial' Taiwan apabila mengulas mengenai pilihan raya tersebut.

Sementara itu, Menteri Majlis Hal Ehwal Tanah Besar Taiwan, Chiu Tai-san berkata, ia 'terbukti dengan sendiri' Beijing cuba mempengaruhi pilihan raya pulau tersebut melalui cara menaja perjalanan percuma ahli politik. - Agensi

Artikel Berkaitan: